PENYANYI asal United Kingdom, England, Henry Moodie tidak pernah menyangka pada usia 20 tahun dengan tempoh berkarier dalam dunia muzik sekadar lebih setahun, dia telah dikenali di seluruh dunia.
Langkah Moodie bermula menerusi single sulungnya, You Were There For Me yang melayakkan dirinya mendapatkan satu kontrak rakaman pada 2022.
Sebagai penyanyi baharu, Moodie melakar rekod cemerlang apabila lagu ciptaannya itu berjaya mencatat 160 juta strim di seluruh dunia dan berada dalam senarai 10 artis England paling ditonton dalam aplikasi TikTok pada 2022.
Momentum karier seninya mendadak naik apabila Moodie muncul dengan single hit iaitu Drunk Text yang merupakan antara lagu daripada album mini berjudul In All Of Lonely Night.
Berbicara tentang karier seninya, Moodie mengaku, cukup bertuah kerana nama dan muziknya dikenali dalam waktu yang cukup singkat.
“Bersyukur kerana perjalanan kerjaya saya bergerak sangat pantas. Lagu-lagu saya diterima dengan baik di seluruh dunia membuatkan saya berasa begitu terharu.
“Jujur saya katakan, tanpa media sosial saya tidak akan berada di sini hari ini. Single pertama saya meledak kerana TikTok.
“Disebabkan media sosial juga peminat dari seluruh dunia dapat mendengar lagu saya dan saya meraih populariti dalam waktu yang singkat,” katanya kepada HibGlam dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Moodie yang asalnya seorang YouTuber menjelaskan, meskipun media sosial memainkan peranan penting dalam kariernya, sebagai penyanyi dan pencipta lagu, dia mahu berkarya dari hati.
“Media sosial memang penting, saya dapat mempromosikan lagu dan aktiviti serta dapat berhubung dengan peminat dari seluruh pelosok dunia.
“Tetapi sebagai pengkarya, perkara paling penting adalah karya muzik itu sendiri. Sebab itu lagu-lagu saya adalah daripada pengalaman sendiri dan orang sekeliling saya.
“Bagi saya, lagu yang dicipta seikhlas hati akan mudah melekat di hati peminat kerana dekat dengan jiwa mereka,” kongsi Moodie yang mula mencipta lagu pada usia 12 tahun.
Dalam kunjungan Moodie ke Malaysia baru-baru ini, dia sama sekali tidak menyangka memiliki begitu ramai peminat di sini.
Peminat sanggup bersesak demi menyaksikan persembahan percumanya yang diadakan di pusat beli-belah The Exchange TRX Kuala Lumpur awal Mei lalu.
“Saya sangat terkejut melihat jumlah peminat yang datang adalah dua kali ganda daripada jangkaan.
“Melihat mereka semua menyanyi bersama membuatkan saya rasa diterima di sini. Saya seronok dan gembira dapat berkunjung ke Kuala Lumpur,” kata Moodie.
Selain Kuala Lumpur, Moodie juga melakukan persembahan percuma yang sama di Manila, Filipina dan Jakarta, Indonesia.
Jelas Moodie, tujuan mengadakan persembahan percuma bukan kerana pihaknya tidak yakin dengan sambutan peminat, tetapi itu adalah sebagai hadiah kepada penyokongnya.
“Menerusi persembahan percuma, semua peminat tidak kira tahap kewangan mahupun latar belakang dapat sama-sama menikmati muzik saya secara langsung,” kongsi Moodie. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.