Kenapa aku pula kena cari kau – Aliff Aziz

SELEBRITI sensasi, Aliff Aziz memberi amaran kepada pelakon baharu Muaz Zabir agar terlebih dahulu sedar diri apabila meminta pertemuan empat mata dengannya bagi membincangkan konflik rumah tangga dengan isterinya, Bella Astillah.

Kata Aliff, 33, dia tidak perlu berbuat demikian, sebaliknya sebagai orang luar, Muaz sendiri perlu faham perbuatannya bersama Bella tetap juga sesuatu yang salah.

“Kenapa aku pula yang kena cari kau. Sebab kau perlu tahu apa yang kau buat dengan isteri orang.

“Kau yang buat hal dengan bini orang, nak aku cari kau buat apa,” katanya dalam satu video temu bual program televisyen.

Pada masa sama, Aliff meminta pelakon drama Bukan Hanya Sekadar Cinta itu agar menceritakan hal yang sebenar kepada umum. Tegasnya juga tidak ada lelaki lain yang berhak masuk campur dalam hubungannya dengan isterinnya, waima dia bergelar banduan sekali pun.

“Dalam keadaan baik kau tutup mulut. Biarpun aku bekas banduan, jahat macam mana sekali pun, itu tidak berikan kau hak buat apa yang kau buat kepada isteri aku. Selepas ini jika ada sesiapa yang bertanya kepada kau, nanti kau bagi tahu tahu apa yang sebenarnya kau buat atau nak aku yang bagi tahu.

“Aku takkan halallkan dunia akhirat apa kau buat kat isteri aku,” ujarnya beremosi.

Sebelum ini Muaz meluahkan rasa tidak puas hati apabila dirinya dikaitkan dengan kemulut rumah tangga antara Aliff dan Bella menerusi siaran audio (podcast) pada 3 Mei lalu.

Muaz turut meminta agar Aliff menjadi lelaki sejati untuk bertemu dengannya memandangkan mereka pernah berhubung mengenai perkara tersebut sebelum ini.

Selain itu, Muaz turut mengatakan Aliff mempunyai niat jahat terhadap dia dan Bella berdasarkan pendedahan perbualan mesej aktor terbabit dengan individu dinamakan sebagai NRF.

Menerusi siaran audio Aliff di The Common Folks, dia menceritakan tentang hubungan yang terjalin antara Bella dan Muaz sehingga isterinya itu berubah sikap.

Aliff juga mempertikaikan tindakan Muaz yang dikatakan mengganggu isterinya.

Pada 13 Mac lalu, Bella memfailkan cerai terhadap Aliff di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Sebelum itu, Aliff dan pelakon Ruhainies ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Aliff bagaimanapun enggan menceraikan Bella ketika sebutan kedua kes tuntutan cerai pada 4 April atas alasan masih sayangkan isterinya.

Susulan itu muncul dakwaan mengatakan dakwaan hubungan sulit antara Muaz dan Bella selepas tular gambar mesra mereka di media sosial.

Untuk rekod, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok