Kempen Blockout 2024 Malaysia sangat kuat – Rossa

PENYANYI ternama Indonesia, Datuk Seri Rossa memuji usaha rakyat Malaysia menzahirkan sokongan tidak bertepi terhadap Palestin terutama dalam kempen Blockout2024.

Menurut Rossa atau nama penuhnya Sri Rossa Roslaina Handayani, 46, kempen sebegitu turut berlaku di Indonesia namun tidak sehebat di sini yang mungkin kerana dipengaruhi beberapa faktor seperti perbezaan aliran pemikiran dan geografi.

Sebenarnya kempen boikot di Indonesia tidak sekuat di Malaysia. Sepanjang berada di sini, saya memang merasakan impak kempen blockout tersebut.

“Di Indonesia juga tetap menzahirkan solidariti terhadap Palestin cuma tidak sekuat di Malaysia kerana ada sebahagian masyarakat di sana yang mempunyai cara pemikiran masing-masing atau kerana Indonesia terlalu besar.

“Setiap hujung minggu di Indonesia selalu ada perhimpunan untuk memperjuangkan nasib rakyat di Palestin. Setiap orang pasti mempunyai cara tersendiri menzahirkan sokongan mereka,” katanya kepada HibGlam selepas sidang akhbar Konsert Divas & Diamonds 2024 di sini, hari ini.

Berkongsi usahanya berkaitan boikot, pelantun lagu Hey Ladies itu tidak lagi mempromosikan jenama yang menunjukkan sokongan terhadap Zionis.

Saya tidak lagi mempromosi barangan jenama pro-Israel setakat ini.

“Sekiranya hanya untuk tujuan kerja dan tidak terlalu mempromosi, saya okey untuk hadir ke acara (jenama pro-Israel).

Namun, kalau ‘hard sell” (terlalu terbuka), agak berat untuk diambil,” jelasnya.

Sebelum ini, wujud kempen Blockout2024 bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.

Kempen tersebut dilaksanakan bagi meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti tanah air yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk ada kaitan dengan Israel dalam media sosial milik mereka.

Netizen Malaysia menyambut baik kempen itu dengan menyenaraikan beberapa nama artis yang didakwa mempromosikan produk jenama pro-Zionis.

Antara selebriti Malaysia yang tersenarai adalah Meerqeen, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok