PENYANYI ternama dunia, Celine Dion mengakui setiap detik yang ditempuh selepas didiagnosis sebagai penghidap sindrom orang kaku atau stiff person syndrome (SPS) adalah perkara paling sukar dalam hidupnya.
Dion, 56, berkata, dia kini lebih terbuka untuk berkongsi mengenai penyakit dan kehidupan yang sebelum ini disimpan rapi tanpa didedahkan kepada umum.
“Sebelum ini saya tidak bersedia untuk bercakap tentangnya tetapi kini saya terbuka.
“Setiap hari saya berusaha untuk tangani semua ini , tetapi hakikatnya saya tetap bergelut dan sangat sukar.
“Saya sangat merindui semua orang.
“Suara adalah konduktor hidup saya dan semua ini adalah satu perjuangan”,” katanya dalam satu temu bual sebuah dokumentari khas.
Meskipun sedar kemampuan dirinya sudah terbatas, penyanyi lagu I’m Alive itu tetap berharap dapat kembali aktif melakukan persembahan pentas suatu hari nanti.
“Saya sangat merindui momen tersebut termasuk kehadiran ramai penonton.
“Jika saya tidak boleh berlari, saya akan berjalan. Jika saya tidak boleh berjalan, saya akan merangkak dan tidak akan pernah berhenti,” jelasnya.
Dia juga menegaskan tidak akan pernah meletakkan noktah dalam kerjaya seninya.
“Saya tidak akan berhenti. Saya telah melihat banyak hal dalam hidup dan sangat menyukai setiap bahagian daripadanya.
“Banyak kegembiraan besar sudah saya temui termasuk mencipta magis sendiri dan menghiburkan para peminat.
“Tidak sukar untuk melakukan persembahan tetapi sangat susah untuk membatalkannya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, penyanyi itu mengejutkan peminat apabila mendedahkan berdepan kemungkinan tidak boleh menyanyi lagi kerana penyakit yang dialaminya sekitar tahun 2022.
Dia memberitahu sindrom tersebut membuatkan ototnya menjadi kejang sekali gus mengganggu peti suara dan kini masih dalam tempoh berehat.
Susulan itu, dia turut membatalkan semua persembahan pentas termasuk konsert jelajah yang sepatutnya berlansung pada tahun lalu. – HIBGLAM