Jelitawan Korea bersuamikan jutawan

SENTUH perihal perkahwinan, pasti ramai mengimpikan lelaki kaya, kacak dan paling penting memiliki akhlak mulia untuk hidup bersama sepanjang hayat.

Namun, mencari calon suami sempurna seperti itu bukan mudah.

Bagaimanapun, kelebihan buat selebriti apabila mereka dapat berkenalan dengan ramai orang sekali gus menjadi titik pertemuan calon pasangan hidup.

Justeru, mereka boleh menilai perwatakan seseorang untuk dijadikan suami seterusnya meraih kehidupan yang lebih stabil dan bahagia.

Daebak mengetengahkan bintang jelita yang dicemburui ramai kerana berjaya menemui suami yang mempunyai latar belakang hebat dan hidup kaya-raya.

Park Ji-yoon

SELEPAS menyepi daripada industri hiburan, penyanyi Park Ji-yoon mengejutkan orang ramai dengan menyatakan mahu menamatkan zaman bujang.

Penyanyi berusia 42 tahun itu berkahwin dengan Co So-young pada 2019 dalam majlis tertutup.

Difahamkan, suaminya bekerja sebagai naib presiden reka bentuk dalam aplikasi KakaoTalk dan dinaikkan pangkat menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) beberapa tahun kemudian.

Menurut laporan media, pendapatan suami pelantun lagu Spring Of The Day itu bernilai kira-kira 750 bilion won (RM2 bilion) setahun.

Lee Hye-young

 

SEPANJANG bergelar anak seni, Lee Hye-young hidup kaya raya sebagai pelakon, penyanyi, penata gaya dan pemilik jenama fesyen.

Bagaimanapun, kekayaan dimilikinya meningkat berkali ganda selepas berkahwin dengan jejaka pilihan hati, Boo Jae-hoon.

Suaminya merupakan rakan kongsi dan antara pengasas bersama syarikat ekuiti swasta MBK Partners.

Meskipun nilai bersih pendapatan sebenar tidak didedahkan, syarikat tersebut dilaporkan mengendalikan modal bernilai kira-kira 27.0 trilion won (RM92 bilion).

Dalam masa sama, pada 2017 dia menjual taman tema popular di Jepun dan mendapat komisyen kira-kira 1 trilion won (RM3 bilion).

Jun Ji-hyun 

 

BINTANG jelita  Jun Ji-hyun disenaraikan ditempat ketiga berpendapatan berpendapatan tinggi selepas berkahwin.

Biarpun aktres itu sendiri mempunyai kekayaan luar biasa hasil karier lakonan dan bisnes hartanah, pendapatan suaminya juga tidak kurang hebat. 

Suaminya pernah berkhidmat sebagai pengarah sebuah bank Amerika sebelum mengambil alih perniagaan bapanya dalam pengurusan aset. Bapa mentua Ji-hyun merupakan bekas Naib Presiden Korea Selatan.

Suami pelakon drama The Legend Of The Blue Sea itu menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) dan memiliki lebih daripada 70 peratus saham syarikat yang bernilai kira-kira 586 bilion won (RM2 bilion). 

Han Chae-young


SIAPA yang tidak kenal dengan pelakon hebat Han Chae-young yang memiliki kecantikan dan bakat luar biasa.

Dia mengejutkan industri pada 2007 apabila mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka bukan selebriti.

Hasil risikan peminat dan media mendapati, bintang drama Autumn in My Heart itu berkahwin dengan pasangan yang berasal daripada keluarga berada.

Meski sukar untuk mengetahui dengan tepat berapa nilai pendapatan keluarga suaminya, mereka sangat terkenal sehingga digelar ‘keluarga diraja dunia kewangan’.

Lee Si-young

PADA 2017, pelakon Lee Si-young memilih ahli perniagaan bernama Cho Seung-hyun sebagai pasangan hidup.

Dilaporkan, suaminya memulakan perniagaan restoran ketika berusia 20-an dan mempunyai banyak francais.

Kini, suaminya berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat dan mempunyai anggaran nilai pendapatan bersih sebanyak 2.5 bilion won (RM8 juta).

Jumlah itu tidak termasuk hartanahnya yang dilaporkan bernilai 4.75 bilion won (RM16 juta). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok