Jangan sebab Blockout, kita berpecah belah – Mimi Lana

PELAKON Mimi Lana menyokong gerakan Blockout 2024 sekiranya perkara tersebut dapat membantu mewujudkan kesedaran kepada jenama antarabangsa tentang nasib rakyat Palestin.

Mimi atau nama sebenarnya Roziana Zainal Abidin, 28, berkata, usaha gerakan Blockout itu diharapkan dapat memberikan tekanan ke atas jenama yang mempunyai kaitan dengan Israel.

“Benda ini sudah lama berlaku. Bagi saya, kebayakannya rakyat Malaysia ini, saya rasa semua orang pun sedar dengan benda ini dan semua orang pun berpihak kepada Palestin.

“Saya sokong 100 peratus kalau benda ini dapat membantu dan dapat memberi tekanan pada jenama yang secara terang-terangan memberi sumbangan kepada Israel,” katanya pada tayangan perdana filem The Experts malam tadi.

Dalam pada itu, Mimi bagaimanapun mengharapkan agar gerakan Blockout itu tidak menjadi punca masyarakat saling bermusuhan.

Sebaliknya, mereka harus bersama-sama bagi memastikan misi menghentikan serangan Israel ke atas Palestin dapat dibuat.

“Saya rasa kita jangan bawa isu ini sampai berpecah-belah. Kita kena tahu misi kita kenapa kita buat benda ini.

“Kita kena bersatu dan membantu mereka sebab kita tahu perkara ini sudah sampai di hujung (Rafah iaitu kubu terakhir penduduk Gaza) dan mereka memerlukan suara kita,” katanya.

Kempen Blockout artis dan pempengaruh bermula di Amerika Syarikat (AS) di mana menyasarkan golongqn yang tidak pernah bercakap mengenai Palestin atau menjadi duta produk menyokong kekejaman Israel.

Kempen tersebut turut menular ke Malaysia dan menamakan beberapa nama barisan selebriti popular tanah air dan pempengaruh antaranya Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Daiyan Trisya, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari.

Perang bermula pada 7 Oktober tahun lalu selepas pejuang Hamas melancarkan lebih 5,000 roket ke arah Israel sebelum Rejim Zionis melancarkan kempen serangan udara dan disusuli serangan darat di Gaza.

Serangan Hamas yang menyasarkan kawasan selatan Israel itu menyebabkan 1,400 penduduk Israel dan warga ­asing terbunuh, manakala 230 yang lain ditawan dan dijadikan tebusan di Gaza. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok