SUSULAN wajah anak menjadi bahan hinaan segelintir individu, penyanyi Ernie Zakri mengambil pendekatan mengurangkan perkongsian mengenai cahaya matanya, Nur Khawla Soleha dalam media sosial.
Bukan mengharapkan pujian, sebaliknya pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, itu menegaskan netizen tiada hak mengutuk anak kecil yang tidak berdosa.
“Normal seorang ibu sedih dan wujud juga segelintir netizen yang saya boleh kata tidak berakal tapi saya bertanggungjawab atas semua itu kerana saya yang pilih tayang anak.
Bukan menerima dengan hati terbuka apabila ada orang kutuk anak saya, tetapi apabila tahu perkongsian itu membawa ke arah negatif, saya akan mula kurangkan hantaran berkaitan anak.
“Ini tanggungjawab saya dan suami. Saya tahu tidak semua orang suka tengok anak kami tapi bila ada yang kata anak saya tak comel, sedih saya,” luahnya dalam sebuah program hiburan, kelmarin.
Meskipun mengakui sedih berdepan penghinaan, Ernie dan suaminya, Syamel enggan mengambil tindakan undang-undang selagi perkara berkenaan tidak mencalarkan reputasi mereka.
“Setakat ini, saya dan suami anggap apa yang kami lalui tidak terlalu teruk. Jika dilayan semakin menjadi-jadi perangai netizen ini. Mereka mahukan perhatian.
Jadi jika tak beri perhatian pasti mereka akan berhenti. Tapi yang tidak berhenti komen, banyak masa di rumah saya boleh katakan dia gila.
“Saya berdepan dengan ramai netizen yang tidak berhenti-henti mesej (DM) kerana mahukan perhatian. Selagi tidak menjatuhkan reputasi kerjaya dan ganggu keluarga, tidaklah saya ambil tindakan,” tegasnya.
Selain pelantun lagu Masing-Masing itu, ramai artis seperti Nora Danish, Caprice dan Sharifah Sakinah turut berdepan isu sama apabila wajah anak mereka dikutuk tidak comel bahkan disamakan dengan haiwan.
Ernie dan Syamel mendirikan rumah tangga pada 26 Mac 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia tiga tahun. – HIBGLAM