Hariz Hamdan jawab tuduhan suka kaum sejenis

FOKUS mencari rezeki selain meletakkan karier seni sebagai prioriti, pelakon Hariz Hamdan pernah memberi kenyataan enggan menjalin hubungan cinta pada usia muda.

Pun begitu, kenyataan Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan bagai tidak dihadam segelintir netizen apabila tercetus pula spekulasi  bintang meningkat naik itu suka sesama jantina.

Mana tidaknya, mempunyai raut tampan seiring penampilan tubuh kekar, namun enggan bercinta tentu sahaja mengundang pelbagai tanda tanya yang menjurus tuduhan songsang.

Terkejut mendengar fitnah sedemikian, jejaka berusia 23 tahun itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut, sekali gus menegaskan dirinya belum sedia  bercinta dek kekangan kerja dan masa.

“Sebenarnya saya agak terkejut bila dengar tuduhan sebegitu, tak sangka orang boleh fikir sampai ke tahap itu sedangkan saya hanya buat hal dan kerja saya sahaja. 

“Jujurnya, saya masih mencari rentak dalam industri seni, cuba  memperluaskan lagi bakat selain mengambil apa juga peluang yang ditawarkan.

“Cuti pun dalam sebulan itu sehari sahaja, jadi bagaimana saya mahu bercinta? Tidak adil untuk pasangan saya nanti sedangkan saya tahu jadual kerja saya memang padat. Bukan sebab saya suka sesama jenis,” tegas Hariz.

Masih muda dan belum stabil, bekas peserta Hero Remaja itu enggan terburu-buru meletakkan diri dengan status bercinta sebaliknya ingin mengejar cita-cita  menjadi pelakon papan atas. 

“Lagi pun saya masih muda, masa yang saya ada sekarang adalah untuk cari duit dan kembangkan lagi kerjaya seni.

“Kadang-kadang pelik kenapa orang mahu sangat saya bercinta padahal saya masih 23 tahun, tetapi bila fikir balik, saya mulai faham mungkin mereka ingin lihat saya bahagia seperti rakan seperjuangan yang lain.

“Bagi saya belum masanya lagi, tapi mungkin umur 27 ke 30 tahun baru saya cari kekasih,” ujarnya tenang.

HARIZ ingin memberi fokus penuh terhadap karier sebagai pelakon sebelum bercinta dengan mana-mana wanita.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Hariz rancak mempromosikan drama terbaharunya berjudul Bunga Salju arahan sutradara hebat, Ejump Mohd.

Bergandingan dengan pelakon hebat seperti Hisyam Hamid, Amyra Rosli dan Hasnul Rahmat, Hariz yang membawa watak Farouk mengakui dia agak gementar, namun dalam masa sama bersyukur dapat menimba ilmu. 

“Semasa penggambaran, rasa sangat gementar sebab barisan pelakon bukan calang-calang tetapi, itu semua saya jadikan semangat dan peluang untuk menimba ilmu daripada pelakon senior.

“Mereka juga sangat membantu dan sama sekali tidak lokek ilmu. Ada babak saya dengan Hasnul Rahmat, sangat kompleks dan menuntut penjiwaan penuh tetapi dengan pertolongan dia, semuanya jadi mudah.

“Peluang sebegini tidak datang banyak kali. Saya sedar kapasiti saya sebagai pelakon baharu, sebab itu saya berikan sehabis baik supaya lakonan setara dengan kualiti pelakon senior,” ujarnya menutup bicara.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok