[VIDEO] Hannah Delisha mahu rehat jika hamil lagi

BUKAN sesuatu yang mudah buat aktres Hannah Delisha apabila impiannya untuk memiliki cahaya mata hilang sekelip mata selepas mengalami keguguran kehamilan sulungnya sekitar Mac lalu.

Biarpun sedih, Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackbirne Birch, 27, kini reda dan menerima takdir dengan hati yang terbuka.

“Sejujurnya fasa sedih kerana keguguran itu telah tamat. Ya, sebagai wanita sudah tentu sedih, tetapi saya berasa okey sekarang selepas cukup rehat.

Tambahan, ramai yang memberi sokongan seperti suami dan orang di sekeliling saya. Fasa itu sudah lepas, saya sudah reda dan terima.

“Saya faham dalam kehidupan kita setiap orang ada ujian masing-masing dan ini adalah bahagian saya,” tutur Hannah ketika ditemui HibGlam baru-baru ini.

Ditebak adakah Hannah trauma dengan apa yang berlaku dan bakal mengambil langkah drastik andai disahkan hamil pada masa depan, Hannah mempunyai jawapan tersendiri berhubung soalan terbabit.

Tidak ada halangan dan tidak rancang juga (kehamilan). Jika Allah izinkan untuk saya hamil sekali lagi, saya perlu berehat semasa awal kandungan iaitu trimester pertama.

“Imbas kembali sebelum ini, saya terlalu sibuk dengan kerja, banyak berjalan ke sana sini, tidak cukup tidur. Jadi, jika disahkan hamil kelak saya akan lebih berhati-hati dan pilih untuk berehat,” ujar wanita asal Singapura itu lagi.

Watak Batrisya yang dilakonkan Hannah dalam drama Lelaki Itu sangat mencabar emosi dan mentalnya.

Berbicara tentang karier seninya, Hannah beraksi cemerlang menerusi watak Sharifah Batrisya dalam drama Lelaki Itu yang mencetuskan fenomena luar biasa.

Menerusi drama nukilan Erma Fatima itu, Hannah berjaya menonjolkan sisi baharu apabila lakonan sebagai wanita yang mengalami tekanan jiwa kerana ‘terkahwin’ dengan adik-beradik sendiri sehingga hamil.

Terjemahan watak itu berjaya meninggalkan kesan yang mendalam pada penonton.

Ketika berlakon drama ini saya belum mengalami keguguran. Saya tidak sangka akan mengalami perkara yang sama di dalam drama dan realiti.

“Bezanya dalam drama, Batrisya mengugurkan kandungan, tetapi saya keguguran. Emosinya sangat berat tetapi berbeza apabila saya benar-benar mengalaminya,” luah isteri kepada lelaki bernama Iman Shah itu. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok