PEMERGIAN penghibur veteran, Allahyarham Datuk Hail Amir tidak hanya memberi kesan kepada pengikut setianya tetapi turut dirasai rakan baiknya, Uji Rashid.
Uji, 70, ketika dibubungi HibGlam memohon agar orang ramai mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
Saya mewakili keluarga Allahyarham memohon agar peminat dapat menghalalkan makan, minum dan jenaka sepanjang hayat beliau.
“Semoga roh arwah ditempatkan bersama dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.
Penyanyi dan pelakon yang bersahabat baik dengan Allahyarham sejak lima dekad lalu turut meminta diberikan masa sebelum bersedia mengulas lanjut pemergian rakan duetnya itu.
Kalau boleh saya tidak mahu bercerita mengenai hayat beliau. Cukup apa yang sudah diberitahu.
“Mungkin hari ini bukan masa yang sesuai untuk saya bercerita. Mohon harap semua dapat beri saya masa,” katanya.
Bintang yang terkenal dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba itu menghembuskan nafas terakhir di HKL kira-kira 3.48 petang.
Jenazah Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana, Ampang untuk dimandi dan dikafankan malam ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, pagi esok.
Sepanjang pembabitan dalam dunia seni, Hail yang berasal dari Pulau Pinang terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.
Lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya.
Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini terkenal di layar perak. Antara filem popular lakonannya adalah Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib. – HIBGLAM