Hajat mak tercapai, adik dapat 10A SPM – Ubai

ASSALAMUALAIKUM mak, anak bongsu mak dapat ‘straight’ A untuk SPM. Hajat dan impian mak tercapai.”

Demikian perkongsian pempengaruh media sosial, Ubai yang berkongsi kegembiraan dengan kejayaan adiknya, Alieya meraih keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Lebih membahagikan kata Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli, 26, hajat ibunya, Allahyarham Rohani Jamal mahu melihat anak bongsu memperoleh keputusan cemerlang akhirnya tercapai.

Kata suami kepada penyanyi Shila Amzah itu, sebagai abang dia bangga melihat pencapaian adiknya yang lebih bagus daripadanya dan adik-beradik lain.

Akuinya lagi, kejayaan mereka empat bersaudara adalah berkat doa bonda tercinta.

Sebak dan bangga kami. Anak-anak lelaki mak dulu cukup makan je keputusan tapi alhamdulillah, berkat doa mak, kami berjaya.

“Ubai rindu mak. Ini (keputusan) untuk mak,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Ubai turut berkongsi gambar Alieya, 18, bersama ibu mereka berserta tangkap layar slip keputusan SPM yang membanggakan itu.

Terdahulu, arwah yang menghidap kanser ovari tahap tiga menghembuskan nafas terakhir pada 30 Julai tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok