Hail sebut nama komposer, penulis lirik ketika ‘show’ – Chuari Selamat

RAPAR bagai saudara kandung, penulis lirik Datuk Chuari Selamat menyifatkan Allahyarham Datuk Hail Amir figura yang sentiasa menjaga ukhuwah, selain tidak pernah melupakan pencipta setiap lagu dendangannya.

Ujar Chuari yang menulis hampir 100 lagu untuk Hail , dia bersyukur berpeluang bekerjasama dengan penghibur kelahiran Pulau Pinang itu sejak awal era 1970-an.

Bagi saya, arwah penyanyi yang mudah menerima lirik yang saya tulis. Jadi, banyak kenangan bersama arwah, dia sangat mesra dan sentiasa ingat kawan.

“Bila dalam majlis, dia takkan lupa menyebut lagu itu ciptaan siapa kerana ada sesetengah penyanyi selalu tidak peka perkara itu. Jadi, itu antara kelebihan yang ada pada arwah,” katanya kepada HibGlam.

Mempunyai ciri khas tersendiri, Chuari yang juga bekas juruhebah RTM berkata disebabkan itu lagu Allahyarham malar segar dan menjadi siulan sehingga hari ini.

“Seingat saya hampir 100 lagu yang liriknya saya tulis untuk Hail. Bukan ciptaan Tan Sri Ahmad Nawab sahaja, tapi daripada komposer lain termasuk yang menerbitkan album beliau.

Kebanyakan lagu untuk arwah akan diberi kepada saya untuk saya tulis lirik. Sejak album pertama arwah lagi iaitu Wajah Kesayangan Hamba.

“Ketika itu saya diberikan melodi Tan Sri Ahmad Nawab dan diperkenalkan kepada Hail yang masih baharu,” katanya panjang lebar.

Mengulas mengenai karier lakonan, Chuari berkata, penjiwaan Hail terutama menerusi filem pertamanya berjudul Jiwa Remaja sangat meninggalkan kesan sehingga perwatakan dan penampilannya menjadi ikutan ramai.

“Sejak filem pertama lagi watak dibawakan arwah menjadi dan berkesan di hati saya.

Bermula sebagai penari sebelum menjadi pelakon, Allahyarham boleh digelar seorang penghibur.

“Dia juga sangat menjaga hubungan dengan rakan, perginya sebuah permata seni negara, ” katanya ketika ditemui di Masjid Ukay Perdana, Ampang, hari ini.

Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir  menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pukul 3.48 petang semalam akibat jangkitan kuman pada paru-paru. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok