TIADA niat jahat, cef selebriti Chef Wan tidak menyangka komen bersifat jenaka mengenai gaun dipakai pelakon Bollywood, Aishwarya Rai di Festival Filem Cannes telah disalah tafsir sehingga disiasat polis.
Terlajak kata buruk padahnya, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail, 66, tampil memohon maaf atas komen dibuat selain menegaskan bukan bertujuan mempersendakan agama Hindu.
Bukan niat sebenar saya untuk bersikap perkauman mahupun burukkan agama Hindu. Sebagai seorang cef televisyen, saya sentiasa menghormati semua budaya dan agama di seluruh dunia.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk membuat permohonan maaf kepada semua penganut agama Hindu kerana telah membuat kenyataan sedemikian. Saya minta maaf,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Enggan lebih ramai terasa hati, Chef Wan menjelaskan dia hanya berseloroh dan memberi pandangan sebagai netizen terhadap gaun yang digayakan pelakon Mohabbatein itu.
“Fikiran saya serta-merta memikirkan material digunakan pereka sering dilihat di perayaan Thaipusam kavadi yang diraikan di Batu Caves.
“Sebab ramai juga pengikut saya komen di situ nampak macam bulu burung merak. Saya menganggap haiwan itu cantik. Saya tidak berniat langsung untuk menghina agama lain.
“Saya hanya berjenaka dan bercakap jujur namun komen saya disalah tafsir sampai polis pun terpaksa siasat kerana ada yang buat laporan!” jelasnya panjang lebar.
Seperti sudah tidak boleh bergurau, Chef Wan mengakui terkejut dengan reaksi yang diberikan netizen dan menyifatkan masyarakat Malaysia kini terlalu sensitif.
“Saya tidak tahu sama ada nak ketawa atau menangis. Sejujurnya saya rasa rakyat Malaysia sekarang begitu sensitif dalam banyak perkara.
Saya percaya kebenaran dan niat jujur kita, hanya Allah yang mengetahuinya. Tak perlu takut jika kita tidak salah.
“Namun jika benar kita telah melakukan kesalahan, kita harus dengan jujur minta maaf secara terbuka,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, polis mengesahkan Chef Wan sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung satu hantaran dalam media sosial yang didakwa bersifat perkauman membabitkan Aishwarya.
Menerusi komen tersebut, Chef Wan secara berseloroh menyatakan gaun yang dipakai pelakon Bollywood itu seperti membawa kavadi ke upacara Thaipusam di Batu Caves. – HIBGLAM