Giliran Marsha pula ‘terbang’ ke China

SELEPAS Bella Astillah, kini giliran penyanyi Marsha Milan pula menerima undangan membuat persembahan bagi mempromosikan Malaysia di Shanghai, China bermula 24 Mei depan.

Menurut Marsha atau Marsha Milan Londoh, 39, selain dapat mempamerkan bakat, dia juga melihat platform tersebut sebagai peluang untuk mengetengahkan budaya etnik Sabah memandangkan Pesta Menuai juga bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Sebenarnya saya dirisik oleh Malaysian Tourism untuk bersama-sama mereka ke Shanghai bagi mempromosikan budaya Malaysia.

Saya diberi peluang untuk membuat persembahan memandangkan bulan ini merupakan Pesta Menuai di Sabah. Kiranya saya akan sambut di situ jugalah selama empat hari,” katanya kepada HibGlam selepas pelancaran muzik video lagu Hening Rindu, semalam.

Berkongsi persediaannya sebelum ‘terbang’ ke China,  Marsha berkata segala persiapan berjalan lancar dan disediakan oleh pihak Tourism Malaysia.

Disebabkan saya berada di bawah Malaysian tourism jadi semuanya telah disediakan termasuklah penari.

“Lagu-lagu yang saya akan ketengahkan tentunya lagu dari Sabah dan nyanyikan lagu-lagu yang pernah masuk Anugerah Juara Lagu (AJL) seperti Kembali Terang serta Cinta,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia berbangga melihat rakan senegeri, Bella juga berjaya membawa budaya Malaysia ke China sebelum ini.

Saya bangga melihat Bea sebab selalu berharap akan lebih ramai artis dari Sabah berada dalam industri, mungkin sebab Sabah lebih jauh dan peluang lebih kecil.

“Jadi, saya gembira melihat pencapaian Bella dalam bidang nyanyian dan lakonan,” katanya lagi.

Terdahulu, Bella terpilih mewakili Malaysia untuk mengadakan persembahan di Wuhu Shenshan Music Festival 2024 di China. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok