Getaran aura si ratu ‘leman’

LETAKLAH apa sahaja gelaran kepada Siti Nordiana Alias. Jolokan penyanyi kampungan atau nakalnya disebut ‘leman’ tidak sesekali menjadi kudis buatnya.

Melihat perjalanan penuh berliku dilalui wanita yang mesra disapa Nana itu sebaik memilih terjun ke arena seni suara hampir tiga dekad lalu, tiada kekangan mampu menghalang langkahnya.

Selain bersandarkan hanya pada bakat saat mula-mula bertatih mengejar impian, sehingga kini sokongan peminat tegar yang menyayanginya tanpa syarat diakui sebagai pendorong untuk Nana berada pada tahap sekarang.

Konsert Memori Berkasih 25 Tahun Siti Nordiana yang berlabuh di Zepp Kuala Lumpur hujung minggu merupakan bukti imbuhan terhadap jiwa kental miliknya.

SEBANYAK 21 lagu didendangkan pada konsert berdurasi dua jam di Zepp KL, Sabtu lalu.

Melihatkan aksinya termasuk cara komunikasi dengan khalayak, kematangan penyanyi berusia 40 tahun itu di pentas mega tidak boleh dipertikaikan.

Mengenali Nana sebagai wanita dan penghibur dari segenap transisi hidup, menghitung pengalamannya menghibur peminat sejak zaman persekolahan, sememangnya dia layak berada di pentas sebuah konsert solo.

Begitupun, biar semakin matang dalam karier, bagi pengikut tegar yang selalu ada pada setiap peralihan fasa perkembangannya, Nana tetap comel di mata mereka.

Bahkan, sepanjang konsert berdurasi dua jam tersebut, telatah dan celotehnya yang menggelarkan diri ‘mader’ atau ibu kepada peminat membuatkan suasana terasa santai dan intim.


KOnsert Memori Berkasih 25 Tahun Siti Nordiana dibahagiakan kepada beberapa segmen, antaranya Irama Malaysia serta tiga dendangan untuk Allahyarham Achik Spin yang menyentuh kalbu.

Setiap patah bicaranya sangat mesra bersulam gurauan menyerlahkan personalitinya selaku penghibur yang mudah didekati.

Di bahagian bawah pentas pula kelihatan peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia, malah ada peminat cilik lingkungan umur sekitar enam tahun lancar berdendang bersamanya.

Sesekali Nana rancak mengusik khalayak, selain mendedikasikan penghargaan terhadap peminatnya yang menggelarkan diri mereka Siti Nordiana FC (SNFC).

Tidak hairan, konsert tersebut meninggalkan kenangan terindah buat semua, terutama SNFC yang selama konsert berlangsung ikut menyanyi bersamanya sehingga penghujung persembahan.

Pastinya, gelanggang yang menjadi saksi pelbagai konsert artis dalam dan luar negara itu bergema dengan paduan suara penonton bermula daripada lagu pertama, Amaran hingga terakhir, Paling Comel. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok