Gementar, tak lena tidur kerana konsert – Ella

BAGAI pisang goreng panas, baru sahaja beberapa hari pengumuman Konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia dibuat, tiket persembahan mega tersebut sudah habis ditempah.

Semua tempat duduk di Dewan Plenary KLCC yang menjadi gelanggang aksi Ella kali ini dengan kapasiti 2,990 penonton sudah bertuan.

Situasi tersebut sekali gus mengulang kejayaan detik penjualan tiket Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota tahun lalu licin terjual dalam waktu singkat sehingga mencatat sejarah sebagai Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours dalam Malaysia Books of Records.

Ditanya sama ada konsert bakal ditambah lagi satu malam, pemilik nama Ella Nor Zila Aminuddin, 58, menyerahkan segala-gala keputusan kepada pengurusannya, RockQueen serta Hitman Solutions selaku penganjur.

Sebenarnya semua perkara mahupun kemungkinan sudah kita jangkakan tetapi setiap keputusan perlu perincian wajar kerana membabitkan banyak pihak.

“Apa pun hanya syukur yang mampu saya dan pasukan dapat zahirkan untuk peminat yang saya sayang atas sokongan padu,” katanya kepada HibGlam.

SELAIN mendendangkan lagu yang jarang diperdengarkan sebelum ini, Ella juga menjanjikan kemunculan seorang artis jemputan yang juga idolanya menjelang konsertnya.

Bercerita mengenai konsert yang menggabungkan rock serta orkestra tersebut, Ella yakin repertoire persembahan pada Ogos kelak berbeza berbanding apa yang pernah dipentaskan sebelum ini.

“Saya akan menyanyi sambil diiringi band dan pemuzik orkestra, konsert bakal menyaksikan saya menyanyikan sebuah lagu irama Melayu asli yang tentu sahaja pilihan sendiri.

Saya pilih untuk menyanyikan lagu irama Melayu asli yang muziknya akan digubah semula dalam bentuk rockestra. Tujuannya untuk mencabar kemampuan diri.Mungkinkah lagu dimaksudkan Jauh Di Mata atau dendangan asal penyanyi lain? Tunggu!

“Saya juga akan bawa lagu yang anda sendiri tidak pernah dengar di konsert sebelum ini, cuma repertoire persembahan masih dalam fasa perbincangan,” ujarnya yang menggunakan khidmat Datuk Acis sebagai pengarah muzik.

SEKALI lagi syarikat Ella, Rock Queen berkolaborasi dengan Hitman Solutions merealisasikan sebuah konsert mega.

Menurut penyanyi kesayangan ramai itu lagi, sebagai pelengkap, bakal diundang adalah seorang artis jemputan yang juga idolanya.

Berkongsi rasa menunggu tarikh konsert, Ella mengakui gementar terutama apabila mengenangkan sambutan hebat konsert terdahulu.

“Sebenarnya sangat gementar sampai sukar untuk tidur nyenyak.

Apabila dimaklumkan tiket ‘sold out’, debaran masih belum hilang kerana pada masa sama saya perlu memberikan yang terbaik untuk peminat.

“Bagi saya, kepercayaan peminat yang berada di belakang saya sejak dahulu sehingga sekarang membuatkan saya masih mampu berdiri di sini,” jelasnya. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok