INGIN terus menampilkan kelainan, penyanyi Aepul Roza berani mati mengetengahkan konsep memijak kaca dalam program The Hardest Singing Show minggu ketiga, malam tadi.
Meskipun hanya tampil di tempat kedua, Aepul atau nama sebenarnya Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, 36, itu bersyukur dapat menjayakan aksi yang dirancangnya itu dengan lancar meskipun diselubungi perasaan gementar sepanjang persembahan.
“Bukan mudah untuk tampil berbeza setiap minggu, saya berterima kasih kepada Hanny sebagai koreografer saya dan Zyhy production.
Jadi untuk mengikut tema Mega Dansa menerusi lagu Ghazal untuk Rabiah, saya hadir dengan konsep menari sambil memijak kaca.
“Awal-awal itu saya punya gementar bukan kepalang sebab kaca itu semakin kecil dia pecah, semakin bahaya,” katanya kepada HibGlam.
Tambah vokalis Drama Band itu lagi, dia hanya menjalani raptai persembahan dalam beberapa kali sahaja untuk memijak kaca tersebut.
“Saya hanya melakukan raptai dua ke tiga kali sahaja, yang betul-betul saya pijak kaca adalah waktu persembahan malam ini, saya pijak sekuat hati.
Kaca yang betul, tekniknya adalah kaca-kaca yang dipecah itu diasah di hujung-hujungnya untuk dijadikan kurang tajam.
“Tetapi disebabkan ada banyak kaca, sebelum persembahan saya dan team perlu betul-betul periksa kaca tersebut, jadi masih ada risiko lah di situ,” katanya pada sidang media The Hardest Singing Show, semalam.
Demi membuat persembahan sehabis baik, Aepul hanya melakukan seperti dirancang dan enggan memikirkan apa yang akan berlaku pada situasi tersebut.
Apabila berada di pentas biasalah saya rasa perasaan pentas membuak-buak yang ingin dipersembahkan.
“Sebelum persembahan saya sudah redha, apa nak jadi, jadilah, Alhamdulillah tidak tercedera,” ujarnya.
The Hardest Singing Show yang melibatkan lapan peserta yang bertanding selama 10 minggu iaitu Zizi Kirana, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, serta kumpulan penyanyi, DeFam yang terdiri daripada Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana.
Program nyanyian ini akan dikendalikan oleh pengacara dan penyampai radio popular, Nabil Ahmad bersama pengacara, pelawak serta juga penyanyi terkenal Indonesia, Rina Nose.
Sementara itu, Datuk Rossa , Edry Abdul Halim dan Zizan Razak dipilih sebagai juri tetap program yang mula ditayangkan pada 12 Mei, setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria (Saluran 104). – HIBGLAM