Gaga Chromatica Ball gempak!

SELEPAS dua tahun, pemilik nama lengkap Stefani Joanne Angelina Germanotta itu mengejutkan para peminatnya seluruh dunia yang digelar Little Monsters dengan kehadiran filem konsert, Gaga Chromatica Ball.

Diarahkan dan diterbitkan Lady Gaga sendiri, Gaga Chromatica Ball membuktikan susuk yang cukup dikenali dengan imej futuristik itu sememangnya a force to be reckoned with (seseorang yang berkuasa dan tidak boleh diabaikan).

Menghabiskan masa sekitar 1 jam 47 minit, penulis juga antara jutaan peminat yang kagum dengan Gaga bukan sahaja beliau sebagai seorang penghibur, bahkan sebagai pengarah dan penerbit naskhah berkenaan.

Gaga Chromatica Ball terus memberi bukti konkrit bahawa wanita berusia 38 tahun itu tidak pernah ‘hilang’ dari industri seperti didakwa sebilangan pemerhati. Dia hanya menderas matang dalam dunia seni mengerjakan banyak cabang seni berbeza waktu debutnya 20 tahun lalu.

Gaga bukan hanya bertindak sebagai penghibur, dia juga mengarah dan menerbitkan filem konsert jelajahnya, Chromatica Ball.

Macam datang konsert

Menyentuh tentang kualiti, Gaga Chromatica Ball membawa audiens menyelami naratif perjalanan awal, semasa dan (sedikit) akan datang Gaga. Semestinya, apa yang dipaparkan memberi peluang kepada kelompok peminatnya merasai pengalaman seperti menyaksikan konsert.

Tidak hanya menyanyikan lagu yang daripada album Chromatica, pada Act 1 (20 minit awal), Gaga mendendangkan lagu yang melonjakkan namanya di mata dunia iaitu Bad Romance, Just Dance dan Poker Face.

Dari segi visual, tarian, emosi dan ‘komunikasi’ dengan peminat, Gaga memang berada pada kelas tersendiri. Tiada yang lompong dan kesemua elemen yang disebutkan itu diadun serta diterjemah dengan kecemerlangan yang tiada tolok banding.

Gaga yang terkenal dengan imej aneh kini membuktikan dia seorang penghibur versatil dunia.

Barangkali, ada yang mengkritik suntingan Gaga Chromatica Ball agak trippy (dibaca: amatur), namun buat penulis secara peribadi, energi itu adalah pilihan yang disengajakan bersesuaian dengan konsep Chromatica yang bernuansa ball atau acara tari tarian.

Selain komitmen kualiti vokal, tarian dan visual yang luar biasa, antara segmen yang membuatkan penulis terus menghormati jenama Lady Gaga adalah ketika beliau bersatu dengan skilnya iaitu bermain piano.

Versatil, suara

Gaga mendendangkan Shallow, Always Remember Us This Way, The Edge Of Glory dan Angel Down menerusi segmen piano.

Tidak hanya menyanyi kosong, beliau turut memberikan mesej buat lebih 52,000 penonton di Dodger Stadium, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Antara yang dititipkannya adalah setiap manusia mempunyai hak dan tiada masalah untuk bersuara tentang sesuatu perkara.

SELEPAS bergelar penyanyi dan pelakon dikagumi ramai, Lady Gaga kini melebarkan sayapnya sebagai sutradara dan penerbit filem.

Alangkah hebatnya jenama Gaga andai dia turut bersuara tentang apa yang sedang berlaku di Palestin sekarang memandangkan dia juga terkenal dengan kerja-kerja aktivisme tidak mengenal jantina, bangsa dan warna kulit.

Malangnya, buat mereka yang mengekori rapat kerjaya seni Gaga, dia sememangnya bersahabat baik dengan Joe Biden dan merupakan antara individu yang berkempen buat susuk politik itu.

Dari sudut pandang seni, Gaga adalah manusia yang paling versatil. Beliau seorang vokalis, penari, penghibur tidak asing lagi di pentas Grammy Award, pelakon bertaraf Academy Awards, aktivis kemanusiaan, usahawan kosmetik dan kini pengarah serta penerbit filem.

Itu semua kian dibuktikan menerusi Gaga Chromatica Ball.

Seperti apa ditulis pada perenggan kelima, pada penghujung filem pemenang 13 trofi Grammy itu ‘membocorkan’ era baharu dunia muziknya. Diskografi yang ditunggu-tunggu ramai bakal diluncurkan sedikit masa sahaja lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok