Elle Thong SMDX mulut lancang, pengurusan minta maaf

SUSULAN sikap bongkak seorang ahli kumpulan SMDX yang mendakwa tidak mengenali Dolla, syarikat pengurusan XIOKK Entertainment tampil membuat permohonan maaf.

Pengarah Urusan XENO Group, Prashan Chitty mengakui keterlanjuran kata-kata Elle Thong sekali gus berjanji berusaha memperbaiki keadaan itu.

“Bagi pihak Elle dan SMDX, kami secara formal membuat permohonan maaf kepada semua. Kami mengaku, banyak lagi yang perlu kami pelajari.

“Kami berjanji akan memperbaiki lagi cara kami,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan dalam Instagram SMDX.

Bagaimanapun, Prashan mengakui kecewa dengan sikap segelintir pihak yang memberikan komen melampau tanpa memikirkan kesan ditanggung artis mereka.

“Namun, syarikat kami tidak sesekali menerima apa-apa jenis kecaman yang berbaur pembulian dan memalukan artis kami.

“Kami memohon maaf kerana terpaksa membuang segala komen sebegitu. Kami di sini cuma ingin belajar dan berkarya,” ujarnya.

Menerusi hantaran sama, Prashan turut memaklumkan anggota SMDX juga ambil maklum  teguran mengenai pemilihan pakaian mereka.

“Kami ingin memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan pilihan pemakaian kami. Kami mengaku, banyak lagi yang kami boleh baiki.

“Kami mengambil semua kritikan dan dengan izin Tuhan, kami akan perbaiki lagi pada masa depan,” ulasnya.

Sehubungan itu, Prashan berharap semua pihak dapat memberikan peluang kepada SMDX menunjukkan bakat mereka dalam industri muzik tempatan.

“Visi dan misi XIOKK kekal sama iaitu untuk membina atau memperkukuhkan ekosistem muzik di Sabah dengan memberi lebih peluang kepada bakat di negeri ini  untuk berkaryabukan sahaja di pentas nasional bahkan ke persada dunia,” katanya.

Sejak semalam, Elle dikecam hebat netizen gara-gara mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai sombong dan berlagak ketika menjawab soalan pengikut dalam TikTok.

Elle dalam sesi siaran langsung tersebut menegaskan enggan mempedulikan komen berbaur kebencian termasuk kritikan mengenai imej seksi SMDX.

Pada masa sama, Elle turut berkata tidak mengenali kumpulan wanita paling popular negara sehingga menempa nama di China iaitu Dolla.

Selain Elle, kumpulan SMDX atau disebut Sumandak itu turut dianggotai dua lagi penyanyi iaitu Crystal Vanessa John dan Deveygrayc yang melancarkan single sulung pada 15 Mei lalu.

Menerusi semakan dalam ruangan komen, rata-rata meminta Elle memohon maaf secara peribadi bukan menerusi syarikat pengurusan atau mengheret dua lagi anggota lain dalam isu yang dicetuskan itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok