MAHU mengulangi fenomena lagu Aku Tak Percaya Cinta, selebriti versatil Liyana Jasmay bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi.
Liyana, 36, berkata, walaupun jarang hadir dengan karya muzik, cintanya terhadap cabang seni itu tidak pernah luntur.
“Saya sebenarnya dah bincang lama dengan bos saya (V Prashan) sejak tahun lepas. Saya cakap nak lagu baharu, tak nak tinggalkan dunia nyanyian begitu sahaja.
Dipendekkan cerita, sebelum Ramadan saya lepak dengan Prashan. Dia bagi saya pilihan lagu.
“Saya diberikan demo dan kemudian diterbangkan ke Jakarta untuk menjalani rakaman di studio dua minggu sebelum Syawal,” katanya kepada HibGlam usai majlis rumah terbuka Aidilfitri Multimedia Entertainment, baru-baru ini.
Kata pelakon filem Papadom itu lagi, dia berasa sangat gemuruh apabila memasuki studio rakaman selepas sekian lama tidak berbuat demikian.
Saya gementar sebab dah lama tak masuk studio, kali terakhir 2016. Saya habiskan masa dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari untuk rakam lagu ini.
“Sekarang baru siap proses ‘mixing’ dan sedang mencari rakan kolaborasi untuk merakamkan video muzik (MV).
Nak buat MV saya tak nak yang biasa-biasa sebab saya seorang pengarah filem (ketawa). Saya nak siapkan MV sebelum Julai.
“Sebenarnya, saya target nak keluargkan dua lagu. Lagu pertama bergenre balada dan single berikutnya fun song. Insya-Allah akan siap sebelum Julai,” ujarnya.
Selain bergelar pelakon dan terbaharu duduk di kerusi pengarah, Liyana juga dikenali sebagai penyanyi menerusi untaian lagu termasuk Aku Tak Percaya Cinta, Cinta Bersatu dan Oh Na Na. – HIBGLAM