Lebih dua dasawarsa membina nama sebagai kugiran muzik, banyak pahit manis telah dijalani pemuzik bernama d’Masiv yang setia dianggotai lima lelaki.
Lima lelaki yang dimaksudkan ialah Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitaris), Nurul Damar Ramadan (gitaris), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass), Wahyu Piadji (drum) dan Vegry Harindah Husain (keyboard).
Kekal relevan sehingga ke saat ini, perkara paling diterapkan dalam diri setiap anggota kumpulan adalah persefahaman.
Tanpa nilai tersebut, masakan mungkin mereka bertahan hingga ke detik ini, sedangkan ramai rakan sezaman ada yang sudah berpecah dan tidak lagi melihat muzik sebagai cinta utama.
Kenang Rian, memori mereka berkongsi sebungkus nasi berlima sewaktu awal kemunculan suatu ketika dahulu masih berbekas, selain ‘gaji’ pertama yang hanya bernilai 150,000 rupiah (RM40).
Kerja keras
“Satu bungkus nasi pernah dibahagi lima saat mula berjuang. Alhamdulillah, sampai ke saat ini, duit gaji kami masih lima, orang yang sama.
Itu yang buat kami terapkan dalam minda, kalau kami bubar, ramai sekali orang yang akan kecewa.
“d’Masiv bukan hanya sebuah band tetapi sebuah rumah. Ramai juga orang yang tergantung hidup dengan jenama band ini,” kata Rian kepada HibGlam.
Ditanya resipi kekal bersama sehingga ke hari ini, Rian berkata, mereka berlima setia mengadakan perjumpaan setiap minggu dan ada checklist impian yang mereka ingin gapai dalam bentuk tulisan.
Selalu ada mimpi-mimpi yang kita tulis dan bertanda. Sejak 2003 kita selalu sudah tulis mimpi-mimpi kita.
“Alhamdulillah, sudah kita ‘checklist’ banyak juga.
“Contoh kita berjaya buat rakaman di Abbey Road Studios. Memang sudah lama pasang mimpi itu. Kemudian kita dapat buat persembahan di Times Square.
“Kami sentiasa menganggap diri kami band yang baharu. Kalau di studio rakaman, kami umpamanya anak-anak kecil yang gembira dapat lakukan pekerjaan yang kami suka,” jelas Rian lagi.
Konsert di Malaysia
Bakal bertandang ke Kuala Lumpur untuk konsert Amazing Concert: D’Masiv & Mario G KLau tanggal 29 Jun depan di Megastar Arena Kuala Lumpur, d’Masiv menjanjikan persembahan terbaik buat peminat di Malaysia.
Kata Rian lagi, mereka sangat teruja dapat bekerjasama dengan Mario G Klau yang disifatkan sebagai pemuzik hebat.
Perbezaan untuk konsert kali ini, pemilihan lagu pasti akan lebih banyak berbanding konsert-konsert sebelum ini.
“Selalu menjadi satu perihal yang istimewa setiap kali buat konsert di sana.
“Istimewa juga, waktu konsert nanti kami akan menyanyikan lagu-lagu daripada album terbaharu berjudul 8.
Berkongsi pentas dengan Mario juga adalah satu penghargaan kerana dia adalah susuk penyanyi baharu yang sangat luar biasa.
“Dia juga komposer yang tahu niche atau bidangnya,” terangnya.
Tiket konsert Amazing Concert: D’Masiv & Mario G KLau boleh didapati menerusi link di sini
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.