PENYANYI Daiyan Trisha mendedahkan sudah menamatkan kontrak dengan beberapa jenama terkenal yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini.
Tidak mendedahkan secara terperinci jenama tersebut, Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 30, berkata, keputusan tersebut diambil kerana memandang isu boikot ini secara serius.
Saya ingin maklumkan bahawa saya telah menamatkan kontrak dengan beberapa jenama (berkait dengan Zionis). Ada juga jenama yang saya akan hentikan kerjasama pada masa akan datang.
“Saya terima segala teguran dan memandang isu ini dengan serius,” katanya kepada HibGlam hari ini.
Tambah pelantun lagu Langit itu, tindakannya sekali gus menunjukkan pendirian dan solidaritinya terhadap semua konflik yang berlaku di Palestin ketika ini.
Ini adalah cara saya menunjukkan sokongan dan pendirian berkaitan isu di Palestin,” katanya lagi.
Dia bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut penamatan kontrak tersebut termasuk berkaitan tindakan undang-undang dan penalti.
Sebelum ini, namanya menjadi sebutan apabila tersenarai sebagai selebriti Malaysia yang harus disekat menerusi kempen #Blockout2024.
Menyedari hal tersebut, dia menegaskan tidak pernah berhenti menyebarkan tentang isu Palestin dalam media sosialnya malah turut mendedahkan menderma RM100,000 kepada empat badan bukan kerajaan (NG0) yang setiap satunya berjumlah RM25,000.
Sejak minggu lalu, gerakan Blockout2024 tercetus dalam media sosial bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalin kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.
Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan atau menyokong Israel dalam media sosial milik mereka. – HIBGLAM