SELEPAS lima tahun berkerja keras dalam konti radio setiap hari demi kelestarian karier sebagai anak seni, pelakon Siti Elizad kini sudah beralih fokus.
Kembali berlakon, dia mahu menebus semula watu yang lama membiarkan kecintaan sejak remaja itu tertunda dek komitmen lain.
Dalam waktu, pengalaman di konti radio Sinar FM tentunya menjadi rujukan pihak lain yang berkira-kira menggunakan khidmat Elizad sebagai penyampai.
Ikuti perkembangan pemilik nama lengkap Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 40, yang teruja kembali ke set penggambaran selepas tinggalkan konti radio.
KOSMO!: Selepas mengundurkan diri daripada Sinar FM, ada antara stesen lain mula memberikan tawaran sebagai penyampai radio?
ELIZAD: Sebenarnya memang masa keluar ada maklumkan jiwa saya di tempat penggambaran dan radio lain pun faham keadaan saya sehingga membuatkan perkara tersebut tidak berpanjangan.
Semuanya dengan bantuan rakan media yang uar-uarkan saya sudah berhenti daripada Sinaf FM, terus ada pihak produksi mula cari saya.
Apa sebab utama buat keputusan berhenti jadi penyampai radio?
Apabila mula masuk set kembali, saya rasa jiwa dalam bidang lakonan. Sebab utama adalah boleh berjumpa dengan ramai orang walaupun memerlukan saya untuk balik lambat.
Semuanya bermula apabila mula menjalani penggambaran drama Restu. Tiba-tiba datang rasa ‘cukuplah lima tahun sebagai juruhebah’.
Semasa menjalani penggambaran, saya duduk dalam kereta sampai menangis kerana terlalu seronok dapat kembali ke set dan jumpa kawan-kawan. Memang langkah terbaik.
Ada rasa kekok semasa menjalani penggambaran selepas lima tahun tidak beraksi?
Kekok juga semasa berada dalam set sebab tidak tahu gaya pengarah sekarang bagaimana. Apa-apa pun perlahan-lahan saya akan dapatkan rentak kembali. Dahulu saya ada sokongan orang ramai. Sekarang nak menangis pun sukar untuk lakukan.
Saya akan berhenti sekejap dan fikir bagaimana untuk jayakan watak tersebut.
Apa perbezaan dalam set selepas lima tahun berehat?
Cara permainan penggambaran lakonan semakin berubah. Dahulu cerita berat akan lebih sukar untuk jayakan dan kena duduk bersama pelakon lain.
Sekarang sudah tidak banyak kerana lebih kepada cerita santai atau cinta.
Sebelum berjumpa pelakon lain, saya buat kajian kerana mahu tahu dengan siapa saya bergandingan.
Apa pengalaman berjumpa pelakon baharu?
Datang tempat penggambaran, saya tidak kira junior atau senior, saya sendiri akan kenalkan diri kerana mungkin orang tak kenal saya. Buat masa ini, kebanyakkannya okey. Cumanya, ada kadangkala rasa janggal kerana mereka lebih lebih banyak masa bersama telefon bimbit.
Saya nak cakap pasal skrip pun terfikir-fikir bila masa sesuai untuk mendekati mereka. Saya pula dah biasa belajar dengan senior untuk duduk bersama. Bukan cerita berat sahaja perlu buat terbaik. – HIBGLAM