PERASAAN ingin dicintai dan mencintai adalah lumrah bagi bagi setiap manusia, terutama saat mula meningkat remaja dan memasuki alam dewasa.
Bagaimanapun, tidak semua perasaan cinta dihalalkan. Di Korea Selatan misalnya, segelintir masyarakat di sana melihat cinta, khususnya dalam kalangan selebriti perkara tabu.
Namun, siapalah kita untuk menghalang perasaan seseorang tambahan pula membabitkan selebriti yang juga mempunyai perasaan untuk disayangi.
Malangnya, bukan semua hubungan mampu bertahan lebih-lebih lagi apabila perhubungan mereka diketahui umum.
Minggu ini, Daebak membawakan senarai selebriti yang menjalin hubungan cinta tetapi diakhiri dengan perpisahan yang menyakitkan.
Han So-hee, Ryu Jun-yeol
AWAL tahun ini, dunia industri K-Pop dikejutkan dengan berita percintaan pelakon Han So-hee dan Ryu Jun-yeol.
Pengakuan tersebut sekali gus menolak dakwaan So-hee sebagai orang ketiga yang menyebabkan hubungan Jun-yeol dan Hyeri berakhir.
Selepas itu, So-hee dan Jun-yeol teruk menerima kecaman daripada netizen sehingga mereka mengambil keputusan berpisah.
Dikatakan, mereka sempat mengulit kasih selama dua minggu sebelum mengambil keputusan memilih haluan masing-masing.
Jisoo Blackpink, Ahn Bo-hyun
SEBELUM ini, Jisoo Blackpink menyimpan kemas kisah peribadinya daripada pengetahuan umum.
Namun, pada Ogos tahun lalu, dia mengejutkan peminat apabila mendedahkan sedang intim bersama pelakon Ahn Bo-hyun.
Biarpun tidak lagi berahsia, mereka tidak kelihatan seperti pasangan bercinta kerana tiada satu pun gambar bersama.
Disebabkan kesibukan jadual masing-masing, hubungan tersebut terpaksa diakhiri pada Oktober 2023.
Nam Joo-hyuk, Lee Sung-kyung
BERIKUTAN pembikinan drama popular Wightlifting Fairy Kim Bok Joo, pelakon Nam Joo-hyuk dan Lee Sung-kyung dikatakan hangat bercinta.
Nampaknya, keserasian mereka di skrin dalam drama tersebut bukan sengaja dibuat-buat tetapi sememangnya berlaku dalam kehidupan realiti.
Meskipun merahsiakan perhubungan daripada pengetahuan umum, media Korea tetap berjaya membongkar percintaan mereka.
Tidak kekal lama, percintaan Joo-hyuk dan Sung-kyung terhenti apabila disahkan berpisah pada Ogos 2017 iaitu empat bulan selepas kisah mereka diketahui umum.
Lee Jae-wook, Karina Aespa
PERPISAHAN adalah pengalaman paling sakit dalam hidup setiap insan dan baru-baru ini pelakon Lee Jae-wook dan Karina dikatakan menoktahkan hubungan mereka.
Selepas pertemuan pada acara fesyen pada awal tahun ini, media Korea mendedahkan kedua-dua mereka menjalinkan cinta dan semakin mengenali satu sama lain pada Februari.
Namun, masing-masing memilih untuk berpisah pada 2 April lalu kerana terdapat pelbagai reaksi buruk yang diterima daripada peminat.
Jennie Blackpink, Kai EXO
PADA Januari 2019, media Korea Selatan berjaya mendedahkan hubungan cinta antara penyanyi Jennie dan Kai.
Difahamkan, mereka sudah mengenali hati budi masing-masing sejak Oktober 2018.
Selepas hubungan tersebut didedahkan kepada umum, pantas sahaja Jennie dan Kai menjadi pasangan yang sangat disukai peminat.
Namun, hubungan tersebut tidak berpanjangan apabila mereka berpisah beberapa minggu kemudian. – HIBGLAM