Bukti Remy boleh jadi pak lawak

HAMPIR dua dasawarsa bergelumang dalam dunia seni lakonan, tiada apa yang diharapkan pemilik nama lengkap Mohammad Zalimei Ishak kini, selain melihat graf kerjayanya sebagai pemain sinema terus menjalar ke hadapan. 

Remy, 42, sudah melibatkan diri dalam lebih 30 projek layar perak sepanjang bergelar anak seni dan ke semuanya memberikan pengajaran dan pengalaman berbeza. 

Terbaharu, anak kelahiran Durian Tunggal Melaka itu hadir dengan buah tangan garapan sutradara Andre Chiew dan Nazim Shah berjudul The Experts menerusi terjemahan kemas karakter bernama Amer. 

Buat khalayak yang sudah menonton filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama TGV Pictures, ZAK Capital dan BlackFlag tersebut pasti terpesona dengan permainan watak ditonjolkan Remy yang ‘berubah-ubah’ namun umpamanya memberi definisi baharu dalam kamus lakonannya. 

Amer komedi

“Saya tak pernah ditawarkan watak seperti Amer. Watak komedi dan saya bincang dengan pengarah. Saya tanya paras komedi bagaimana yang mereka mahukan. 

Mereka nak saya bawakan watak Amer komedi yang ‘over the top’. Bincang punya bincang, maka lahirlah karakter Amer seperti apa yang dipertontonkan dalam The Experts,” katanya kepada HibGlam. 

Sungguh pun diminta melakonkan watak tersebut secara melebih-lebih, Remy tidak mahu dilihat keluar daripada landasan sepatutnya. 

Bermakna, masih boleh diterima akal dan logik audiens atau peminat sinema. 

“Saya cuba bermain supaya karakter Amer berada atas ‘par’. 

Tak nak ‘over the top’ yang tidak boleh diterima dan alhamdulillah untuk segala respons yang saya terima untuk watak ini,” ujarnya lagi. 

Ditanya sama ada dia mempunyai rujukan sebelum memainkan karakter Amer di set penggambaran, Remy menggelengkan kepada seraya menjawab: “Tiada dan kita putuskan buat sendiri. 

“Saya cuma cakap pada diri tak mahu orang rasa watak Amer ini dibuat-buat.” 

Sekali lagi, buat mereka yang sudah menonton The Experts, pasti akan ‘naik kening’ dengan pengenalan karakter Amer pada mulanya diperkenalkan kepada audiens sedikit feminin, namun watak berkembang baik dari masa ke masa filem berderas. 

Adlips 

Ditanya sama ada pendekatan tersebut sesuatu yang dirancang dalam skrip atau bersifat adlips (rawak), Remy berkata, semua kemenjadian watak Amer adalah usaha sepasukan. 

Itu (watak agak feminin) masa mula-mula adalah lakonan (idea) sendiri.  Macam saya cakap, bersama pengarah, kami cari kelainan. 

“Saya dah biasa main watak hero dan tak pernah pergi level lakonan macam seperti apa saya bawa menerusi Amer. 

“Tujuan utama saya, memang nak ‘tackle’ komedi tapi masih dalam landasan sepatutnya. 

“Bukan senang nak pergi level yang macam tak ‘buat-buat sangat’,” jelas Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 itu. 

Ditebak sama ada yang dikerjakan menerusi karakter Amer membuka lembaran baharu buat dirinya untuk menceburkan diri dalam dunia komedi lebih serius, jawab Remy: “Saya nak buktikan kepada rakyat Malaysia yang berfikiran saya hanya ‘jual muka’ kalau berlakon. 

Sebilangan mereka mungkin rasa saya berlakon tak seberapa. Jadi, inilah yang saya buat demi versatiliti graf lakonan. 

“Alang-alang dah dapat watak komedi, saya cakap pada diri nak buat betul-betul. 

“Tukar gaya rambut, permainan dan semestinya, lakonan.” 

Melanjutkan bicara, antara babak yang paling mencabar dalam filem yang turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana dan Ray Dap Dap itu adalah tarian tango bersama Maya Karin (Miranda). 

Tango, Tuah Alam

Jelas Remy, dia mengambil masa enam minggu untuk memahirkan diri menari tarian tango yang sememangnya bukan sesuatu yang mudah. 

Enam minggu latihan. Kalau ada pengarah yang nak tawarkan berlakon untuk filem muzikal, why not (tertawa). 

“Maya lain, dia memang dah biasa dengan menari-nari. Saya tak biasa. Pijak kaki waktu latihan itu memang perkara biasa. 

“Sakit pinggang, tergeliat lutut dan sebagainya. 

“Macam mana nak ‘melembutkan’ badan, itu semua pengalaman berharga yang saya raih daripada projek The Experts,” tuturnya panjang lebar. 

Sebelum menoktahkan perbualan, Remy sempat berbicara tentang pengalaman perdana menguruskan putera tersayang, Tuah yang terpaksa dirawat di hospital awal bulan Mei lalu. 

Kata Remy, dia kadang-kadang tidak bersedia dengan apa yang berlaku, namun percaya, itu adalah proses kematangan menjadi lelaki berstatus bapa orang. 

Biasalah budak-budak tak sihat. Saya kalau ikutkan memang sedih sebab dia kecil lagi kan. 

“Tapi, insya-Allah dengan doa-doa orang ramai, Tuah Alam kembali sihat seperti sediakala,” katanya. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok