Bintang K-pop dihujani hadiah luar biasa

SUDAH menjadi kelaziman bagi peminat memberikan hadiah buat artis yang diminati.

Bagi mereka, hadiah tersebut boleh jadi sebagai cara menunjukkan penghargaan kepada artis pujaan yang sanggup bekerja keras demi menghiburkan peminat.

Bagaimanapun, ada segelintir peminat yang obses dengan artis kegemaran mereka sehingga sanggup melabur duit demi menghadiahi idola mereka sebagai tanda kenang-kenangan.

Daebak merangkumkan beberapa artis Korea Selatan yang bertuah menerima hadiah mahal daripada peminat mereka.

Jungkook

BERKAT kesabaran menjadi vokalis kepada kumpulan BTS, Jungkook berjaya menerima sejongkong emas daripada peminat.

Lebih indah apabila hadiah mahal tersebut diterima semasa hari jadinya pada tahun 2017.

Bar emas 50 gram pastinya menjadi satu barang unik walaupun harganya mungkin tidak mengikut bajet semua orang.

Kang Daniel

SEMPENA hari lahir yang ke-22, penyanyi Kang Daniel menerima banyak hadiah daripada peminat.

Difahamkan, peminatnya turut menyenaraikan barangan yang ingin diberi kepada artis kesayangan mereka sebelum hari lahir supaya tidak ada yang akan mengulangi hadiah sama.

Pada hari istimewa tersebut, pemilik nama sebenar Kang Eui-geon itu menerima sepasang kasut Jimmy Choo, baju hujan Saint Laurent, sepasang seluar Adidas X Alexander Wang, rantai leher khas, fon kepala Sony WH-1000 X dan dompet Gucci.

Baekhyun

SAMA seperti Jungkook, penyanyi Baekhyun juga pernah menerima hadiah mahal semasa hari jadinya.

Ahli kumpulan EXO itu menerima jam tangan jenama Rolex yang sememangnya sangat terkenal sebagai barangan mewah.

Hadiah tersebut diberikan seorang peminat media sosial yang dikenali sebagai Polar Light.

Sebelum ini, peminat yang sama turut memberikan banyak hadiah mewah lain juga tetapi Rolex adalah satu kejutan paling besar untuk pemilik nama lengkap Byun Baek-hyun itu.

V

SELAIN Jungkook, rakannya iaitu V turut menerima hadiah mewah daripada peminat.

Seperti ramai sedia maklum, anggota kumpulan BTS itu sangat menyukai jenama fesyen Gucci.

Jadi, sempena hari lahir pemilik nama sebenar Kim Tae-hyung itu, peminatnya sanggup berhabis membeli beberapa barangan Gucci.

Penyanyi berusia 29 tahun itu sangat menyukai hadiah tersebut kerana sering dilihat menggayakan barangan terbabit beberapa kali sebelum ini.

Sana

SEMASA zaman kegemilangan kumpulan Twice, rata-rata ahlinya menerima hadiah mahal daripada peminat.

Paling diingati ialah Sana yang pernah menerima jam tangan, dompet dan beg clutch yang bernilai kira-kira $10,000 (RM47,062).

Lebih mengejutkan, rupa-rupanya kesemua hadiah tersebut hanya diberikan oleh seorang peminat sahaja.

Sana atau nama lengkapnya Sana Minatozaki menerima kesemua barangan tersebut selepas dua bulan debut dalam industri muzik – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok