PELAKON Ashraf Muslim mengingatkan setiap pasangan yang berniat untuk mendirikan rumah tangga perlu kembali kepada asas perkahwinan dengan membetulkan niat kerana Allah SWT.
Ashraf atau nama sebenarnya Muhd Ashrad Muslim, 43, berkata, rumah tangga yang ingin dibina bukan sekadar atas dasar cinta sebaliknya harus memupuk rasa tanggungjawab antara kedua-dua belah pihak.
Ramai dalam kalangan kita yang berkahwin atas dasar suka, cinta dan mahu berkeluarga, tetapi semua itu salah. Kita perlu berbalik kepada asas semula dengan niat kerana Allah SWT.
“Dari situ, pasangan suami isteri akan mula sedar peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya digalas mereka.
Jadi, apabila mereka tahu peranan masing-masing, cara untuk menjaga hubungan itu bagi saya tidak kisahlah berkahwin dua, tiga atau empat, asalkan hubungan antara satu sama lain perlu dijaga dengan betul,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Ditanya mengenai kontroversi melibatkan pelakon Aliff Aziz, Bella Astillah dan Ruhainies, Ashraf yang kini hidup berpoligami sejak 2013 menganggap kontroversi yang melanda mereka adalah ujian kerana dia juga pernah merasai hal sama.
Bercakap berdasarkan pengalaman, kata suami kepada Nor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Wan Saburi itu, ujian sebegitu boleh berlaku namun pengakhirannya tidak sama seperti dijangka.
“Proses yang mereka lalui itu, saya pernah lalui sebelum ini cuma pengakhiran mereka kita tak tahu macam mana.
Jadi apa yang saya lihat sebenarnya ialah dugaan untuk kita yang melihat dan semua orang, ambillah yang terbaik sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
“Itu mungkin dugaan buat Aliff dan Ruhainies, jadi biarlah mereka ambil yang positif untuk berubah menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui usai sidang media teater Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka di The Pacific Grill, Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur.
Bercakap mengenai teater arahan Lokhman Ghani itu, Ashraf melakonkan watak Sultan Mahmud. Penglibatan dalam teater juga bukan dilakukan semata-mata kerana wang, tetapi lebih ke arah mencari kepuasan dan pengalaman untuk belajar.
Teater Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka akan dipersembahkan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 7 hingga 8 Jun depan. – HIBGLAM