Bergambar dengan Seungri, Dolla dituduh sokong penjenayah

KUMPULAN Dolla dikecam apabila foto mereka bersama bekas anggota kumpulan Big Bang iaitu Seungri tular dalam media sosial sejak semalam.

Foto tersebut mendapat reaksi negatif susulan Seungri pernah terpalit dengan kontroversi berkaitan skandal pelacuran, dadah dan pengubahan wang haram di Korea.

Meskipun bertarikh 5 Disember 2023, rata-rata peminat menyifatkan Dolla tidak sepatutnya bergambar dengan individu yang mempunyai rekod jenayah seperti Seungri.

“Sangat kecewa dengan Dilla kerana sanggup bersama dengan penjenayah.

Memuja Seungri sangatkah? ‘Group’ macam ini nak dibanggakan apabila tunjuk sokongan kepada lelaki tersebut?” kata seorang netizen dalam aplikasi X.

Meskipun begitu, terdapat juga netizen yang bertindak mempertahankan tindakan Dolla bergambar dengan Seungri.

“Mungkin mereka tidak tahu tentang kes jenayah Seungri.

Anggap sahaja Dolla bergambar dengan artis, bukannya menjalin sebarang skandal atau kerjasama dengan Seungri,” komen netizen.

Sejak beberapa hari lalu, nama Seungri menjadi topik bualan netizen tempatan apabila didakwa berkunjung ke Malaysia bagi menjayakan sebuah persembahan tertutup di ibu negara baru-baru ini.

Perkara itu mula mencuri perhatian ramai selepas tular video memaparkan dia membuat persembahan sempena sambutan ulang tahun individu kenamaan.

Terdahulu, pada 2021, Seungri dihukum penjara kerana terlibat dengan kontroversi dan skandal Burning Sun iaitu aktiviti pelacuran dan penyelewengan wang haram di Korea Selatan.

Menurut laporan media, Seungri dihukum penjara selama tiga tahun tetapi hukuman telah dikurangkan kepada 18 bulan sahaja sekali gus menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok