BAGAI mimpi jadi nyata buat pelakon Rita Rudaini yang mengakui teruja dapat mempertemukan anak-anaknya dengan negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.
Ujar Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, peluang keemasan yang merupakan memori terindah buat keluarga kecilnya membolehkan mereka berbicara sekali gus merasai sendiri aura dimiliki pemimpin terulung itu.
Kenangan berharga yang tidak akan kami lupakan sampai bila-bila. Terima kasih Tun sudi kongsi ilmu pada saya dan anak-anak. Aura Tun sangat kuat.
“Meremang bulu roma saat kami melangkah masuk bersua muka. Orang hebat, aura pun hebat.
Rezeki kami hari ini berjumpa orang yang hebat. Tak puas betul sembang dengan orang hebat,” tulisnya dalam perkongsian nstagram.
Menerusi hantaran sama pelakon filem Mami Jarum itu tidak ketinggalan mendoakan Dr.Mahathir dan isteri sentiasa dalam keadaan sejahtera.
“Kami doakan Tun M dan Tun Siti Hasmah sentiasa diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dilindungi Allah SWT.
Banyak lagi soalan nak ditanya. Teruja sungguh Ryan dan Qaqa dapat jumpa negarawan.
“Kami sayang Tun. Tun terindah dan terulung,” ujarnya lagi yang turut merakamkan video perjumpaan tersebut.
Peluang mengunjungi pejabat bekas Perdana Menteri itu turut dimanfaat Rita dengan membawa dua puteranya masuk ke galeri yang menyimpan pelbagai khazanah serta gambar tokoh dihormatinya.
Menerusi ruangan, rata-rata netizen menyifatkan Rita dan anak-anak, Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, bertuah berpeluang bersemuka dan berbual dengan pemimpin tersohor itu.
Seronoknya dapat jumpa Tun. Tuah anak-anak. Sejuk perut mak hang mengandung anak-anak bertuah,” kata seorang netizen.
“Bertuahnya anak-anak. Dapat rasakan satu hari nanti dua beradik ini kerjanya hebat,” ulas seorang pengikut laman sosialnya. – HIBGLAM