Bekas suami kaya punca tak dapat bantuan – Norish Karman

PELAKON Norish Karman mengakui mengharungi pelbagai cabaran membesarkan empat anak kandung bersama dengan empat lagi anak angkat sendirian.

Norish atau nama sebenarnya Nor’Ashikin Karman, 50, berkata, ramai yang tertanya-tanya punca dia mengambil empat orang anak angkat sedangkan sudah memiliki anak kandung.

Ujarnya, pelbagai pandangan negatif yang dilemparkan pada dirinya dan keluargan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menjelaskan perkara tersebut.

“Ramai masih tidak tahu atau tidak ambil tahu. Ramai masih tertanya-tanya atau berfikiran negatif, ada fitnah.

“Mari saya jelaskan. Ini anak-anak yang Allah SWT amanahkan pada 2020 untuk dijaga walaupun sudah mempunyai empat  anak kandung.

“Kenapa? Tanyalah Allah SWT. Apa yang saya tahu, hati ini tidak sanggup melihat adik-beradik ini terdampar seumpama budak tebing,” katanya dalam Instagram.

Dalam pada itu, pelakon drama Spa Q itu juga mengakui bukan mudah untuk membesarkan lapan anak sendirian.

“Berbagai cabaran dan dugaan. Namun tetap saya gagahkan membesarkan kesemua lapan anak sendirian tanpa bantuan,” katanya.

Tambah Norish, dia juga tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak memandangkan bekas suaminya berkemampuan.

“Tiada pencen suami, tiada bantuan nafkah selama 13 tahun sebagai ibu tunggal. Tiada tawaran berlakon, menganggur daripada aktiviti hiburan sebab sudah berhijab dan tiada kroni.

“Tiada bantuan daripada organisasi. Tak layak sebab bekas suami kaya,” jelasnya lagi.

Norish mengalu-alukan individu yang ingin membantu empat anak angkat iaitu Hasbi Fadullah, 13, Hasya Farahiya, 11, Haziq Fadillah, 10 dan Hazr Farisya, 5, menghubunginya secara terus.

“Kalau sudi infaq untuk empat anak angkat sila DM,” ujarnya,

Norish pernah berkahwin dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir pada 11 Januari 1998 dan bercerai pada 15 Julai 2008.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Haqiem Amany, 25, Muhammad Hady Amieran, 21 dan Nur Hanyz Amanda, 20.

Norish turut memiliki seorang lagi anak Haq Alexander, 13. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok