TERKEDU namun reda, anak kepada penyanyi dan pelakon popular era 1970-an, Datuk Hail Amir, Cinta Hailfi mendedahkan bapanya hilang selera makan sejak pagi tadi sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 3.48 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Jelas Cinta, 35, Hail, 76, sudah dimasukkan ke HKL sejak seminggu lalu akibat batuk berpanjangan sebelum doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman pada paru-parunya.
“Pagi tadi dia tak berapa selera hendak makan dan kami hanya beri susu.
Kalau ikutkan sudah seminggu papa di hospital, dia memang batuk. Jadi, bila masuk ke sini baru tahu papa ada jangkitan kuman dalam paru-paru.
“Pihak hospital memang ada tunjuk X-ray dekat kami, tapi kami pun tak tahu sama ada itu sudah teruk ataupun tidak,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Cinta, dia sekeluarga agak terkejut kerana arwah bapanya dimaklumkan dalam keadaan baik-baik sahaja.
Pihak hospital maklumkan beri antibiotik dan mungkin ambil masa lima ke enam hari. Kami juga diberitahu bacaan papa semakin baik.
“Tapi kami nampak dia semakin lemah. Mungkin disebabkan keadaan jantungnya,” katanya ketika ditemui di (HKL), sebentar tadi.
Turut hadir di HKL, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), DJ Dave, dan regu duetnya Uji Rashid.
Dalam pada itu, Cinta berkongsi, antara permintaan terakhir arwah bapanya adalah mahu berjumpa cucu-cucunya.
Papa memang sangat sayangkan budak-budak dan dia gembira apabila bersama cucunya. Dia sentiasa mahu jumpa cucu kerana benda itu menyenangkan hatinya. Dia ada lapan cucu,” katanya.
Cinta turut berkongsi, arwah bapanya sudah mendapatkan rawatan di hospital sejak 2018, selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan ke wad akibat masalah jantung.
Menurutnya, walau dalam keadaan kesihatannya yang memerlukan pemantauan, bapanya masih teruja memenuhi permintaan mengadakan persembahan.
Arwah pernah menyifatkan tawaran untuk membuat persembahan sebagai ubat kepada sakit yang dialami.
Jenazah Allahyarham Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana untuk diuruskan malam ini dan bakal dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran, pagi esok.
Sepanjang pembabitan dalam dunia seni, Hail yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.
Lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai.
Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini terkenal di layar perak. Antara filem popular lakonannya adalah Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.
Selepas lebih lima dekad terbabit dalam dunia seni, Hail dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022. – HIBGLAM