MAHU membersihkan nama, penyanyi Fuad Rahman menegaskan tidak pernah menyokong kontroversi dicetuskan Aliff Aziz, sebaliknya bersuara disebabkan kurang senang ada pihak mempertikaikan rezeki rakan seperjuangannya itu.
Ujar Fuad atau nama penuhnya Mohamed Fuad Abdul Rahman, paling membuatnya kecewa apabila penggiat seni sendiri yang mencetuskan polemik dengan mencampurkan urusan peribadi dan kerjaya.
“Aku mengamuk sebab ada seorang hamba Allah ini, dia artis Singapura tapi aku tak nak cakap siapa.
“Dia ada komen dekat Aliff, ‘buat onar sampai 11 kali tapi tetap ada yang panggil buat show’.
“Bagi aku orang macam ini hipokrit, tak boleh cakap macam itu. Itukan rezeki masing-masing,” katanya menerusi wawancara dengan sebuah audio siar atau podcast baru-baru ini.
Pada masa sama, penyanyi asal Singapura itu turut menangkis tanggapan kononnya dia menyokong perbuatan Aliff terutama isu menduakan isteri, Bella Astillah.
Bagi Fuad, segala-gala yang pernah dikongsikan dalam media sosial membabitkan rakan senegaranya itu hanya melibatkan soal karier, bukan masalah rumah tangga atau orang lain.
Itu part yang aku ‘back up’ Aliff. Ramai netizen ingat aku sokong Aliff sebab skandal. Itu dia punya pasal, hal peribadi dia.
“Jangan samakan kerjaya dengan personal. Tapi bab skandal aku memang tak masuk campur,” ujarnya .
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen sependapat dengannya namun ada juga yang menyokong saranan agar memboikot selebriti tidak bermoral.
Sebelum ini nama Fuad ‘dipetik’ wanita Singapura yang mengakui kekasih Aliff selepas isterinya, Tom mendedahkan individu itu, Sarah Yasmine pernah menghubungi Fuad.
Sarah yang mengejutkan ramai dengan pendedahan kontroversi susulan Aliff ditangkap berkhalwat dengan Ruhaines turut mengheret ramai artis lain termasuk Emma Maembong, Chacha Maembong, Meerqeen dan Anna Jobling. – HIBGLAM