Azira Shafinaz kebas badan, sukar bernafas

GARA-GARA perut kosong, ahli kumpulan De Fam, Azira Shafinaz nyaris pitam selepas melakukan persembahan dalam program The Hardest Singing Show (THSS), malam kelmarin.

Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 32, berkata, sebelum itu dia dapat merasakan seluruh tubuhnya kebas selain sukar bernafas.

Di belakang tabir yang orang tak tahu, selepas temubual De Fam di belakang pentas, saya dah mula pening dan rasa macam tak cukup oksigen.

“Seluruh badan saya rasa kebas dan saya tak dapat bernafas dengan betul. Saya ingat saya dah nak pitam,” katanya menerusi perkongsian Instagram Story.

Dalam hantaran tersebut, pelakon terbabit turut menunjukkan gambarnya sedang dirawat sekumpulan pasukan perubatan.

Menurut Azira lagi, situasi cemas itu berlaku disebabkan tidak mengalas perut sebelum beraksi di atas pentas.

Peringatan untuk diri sendiri, kena makan sebelum melakukan persembahan,” ujarnya.

Enggan peminat bimbang, dia mengakui kini sudah kembali bertenaga dan semakin pulih.

Anda semua jangan risau. Alhamdulillah saya dah semakin baik sekarang,” tambahnya.

Selain Azira, kumpulan yang turut membariskan dua lagi anggota iaitu Sophia Liyana dan Cik Manggis lolos ke minggu keempat THSS Ahad ini.

Terdahulu, pada Februari lalu pergelangan tangan Azira retak selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama Nafsu.

Meskipun kecederaan itu tidak serius, Azira mengakui kemalangan kecil terbabit menakutkan dirinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok