‘Awas! Jangan sampai awak saya sondol masuk hospital’

MELEDAK seolah-olah penyakit berjangkit, isu rumah tangga berantakan dek disondol ‘pencinta’ suami orang menular dalam rumah tangga selebriti tanah air.

Seperti drama bersiri, muncul pula pelbagai watak baharu menambah perisa selain ‘melondehkan’ kain yang sedia jatuh ke tanah, sekali gus menggegarkan industri hiburan tanah air.

Takut dilanda badai sama, terdapat segelintir selebriti memilih untuk menyimpan kemas perihal suami masing-masing bimbang disondol wanita kebulur kasih sayang.

Namun, berbeza dengan pelakon Reen Rahim yang selesa mempamerkan suaminya, Hazim Zainal dalam media sosial dengan berkongsi pelbagai video lucu telatah cinta hatinya itu. 

Amaran

Disoal tidak takut imamnya diintai wanita miang, pemilik nama penuh Noreen Ashikin Abdul Rahim itu berkata, dia dan suami saling mempercayai antara satu sama lain.

Reen dan suami saling beringat dan menasihati antara satu sama lain tentang batas pergaulan serta status mereka. – Solekan oleh ELMANDA ZUHAIRY

Pun begitu, pelakon berusia 35 tahun itu memberi amaran kepada ‘pengemis’ cinta suami orang di luar sana agar tidak cuba mendekati suaminya andai enggan percakaran berlaku.

“Ini bukan soal takut disondol atau tidak, soalnya sekarang adalah peranan masing-masing dalam menjalani bahtera rumah tangga itu sendiri, kena berpasak kepada kepercayaan.

“Macam saya, kena tahu batas saya dan begitu juga suami. Kena ingat status masing-masing sebagai suami isteri.

“Tapi awas penyondol, jangan ganggu suami saya. Awak dah tahu lelaki itu sudah berkeluarga, menggatal dengan suami orang kenapa?

“Jangan awak saya sondol sampai masuk hospital, Kalau tidak mahu sakit, jangan sentuh suami saya,” tegasnya.

Ditanya sama ada pernah memberi amaran kepada lelaki yang dinikahi sejak Disember 2022 itu, Reen mengakui enggan mengongkong tetapi saling berpesan.

“Macam saya kata tadi, kami  saling mempercayai, saling beringat. Akaun Instagram suami ada dengan saya, jadi kalau misal kata ada penyondol DM memang saya akan nampak dahulu.


JARANG bergaul sesama rakan artis, Reen bukan memilih sebaliknya pernah melalui pengalaman tidak menyenangkan dalam persahabatan apabila hampir dikhianati. – Penata gaya oleh Nana Chahh

“Saya tidaklah mengongkong suami  sampai 24 jam dia kena beritahu keberadaannya tetapi dia sendiri perlu ada ‘common sense’ untuk maklumkan supaya saya tidak risau.

“Memang orang kata kalau benda mahu jadi akan terjadi tetapi sebenarnya kita ada peluang untuk cegah. Jadi wanita jangan lemah, bertumbuk pun saya sanggup kalau orang ambil hak saya,” ujarnya tegas.

Enggan berlama-lama dalam topik rumah tangga, penulis bertanya pelakon filem Sue-On itu mengapa dirinya dilihat jarang bergaul dengan sesama rakan artis.

Pernah dikhianati

Enggan berdolak dalih, aktres kelahiran Klang, Selangor itu mengakui berhati-hati dalam berkawan kerana pernah melalui pengalaman persahabatan yang tidak menyeronokkan bahkan hampir dikhianati.

“Kalau bab berkawan, ditikam belakang itu mestilah pernah! Tapi individu tersebut tidak sempat tikam sepenuhnya sebab saya dapat hidu persahabatan yang dihulur itu sebenarnya munafik semata-mata.

“Selepas perkara itu berlaku, saya memang berhati-hati dalam berkawan. Hanya bersahabat dengan mereka yang sudah saya kenal lima tahun ke atas. Keikhlasan itu lebih terasa dengan mereka yang lama kenal.

“Bukanlah tidak mahu bergaul tetapi kita sebagai manusia kena pandai tengok sikap orang. Kadang-kadang tidak semua orang ikhlas sayang kita macam mana kita buat dekat dia,” ujarnya. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok