Anak Bella Astillah tunjuk bakat menyanyi

ENGGAN ditemubual namun penyanyi Bella Astillah ‘belanja’ media serta tetamu rumah terbuka penerbit filem D’ Ayu Pictures dengan lagu Suasana Hari Raya bersama anaknya, Mohamad Ayden Adrean, 7.

Sorakan bergema sebaik sahaja dua beranak itu tampil di pentas utama kediaman Datuk Rosmarayu Mokhtar di sini, petang tadi.

Persis penyanyi profesional, putera sulung Bella itu memukau perhatian ramai apabila menyanyi sambil berjoget mengikut alunan dendangan asal Anuar dan Ellina itu.

Tidak lari tempo, gaya comel si kecil yang mengenakan baju Melayu hijau pucuk pisang turut meraih pujian ramai.

Ayden dilihat mempunyai bakat tersendiri apabila beraksi dengan penuh yakin di hadapan kira-kira 200 jemputan.

Biarpun ibunya kerap diundang mengadakan persembahan, difahamkan ini kali pertama mereka berpadu suara di majlis rumah terbuka.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 33, sebelum itu membawakan dua lagu.

Terdahulu, Bella hadir ke majlis terbabit bersama Ayden dan anak keduanya, Ara Adreanna, 4, dengan ditemani ibu serta adiknya, Didi Astillah.

Nama Bella menjadi sebutan berikutan kemelut tangganya dengan Aliff Aziz yang kembali bergolak selepas suaminya ditangkap khalwat dengan pelakon Ruhainies pada Mac lalu.

Walau berdepan kontroversi, rezeki berpihak kepada penyanyi dan pelakon jelita itu apabila kerap diundang menyerikan majlis selain dilantik sebagai duta produk. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok