Amir Masdi pilihan Search ‘KidDin’

SELEPAS dua tahun tidak beraksi dalam konsert berskala besar, kumpulan Search yang dianggotai Noordin Mohd. Taib (Din) dan Hamzah Mohd. Taib (Kid) bakal mengubat rindu peminat menerusi konsert Search Gemuruh di Zepp Kuala Lumpur 29 Jun depan.

Istimewanya konsert kali ini, Search bakal menampilkan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 2016 iaitu Amir Masdi sebagai vokalis utama.

Menurut Din, Amir menjadi pilihan mereka kerana mempunyai pakej berjiwa rock dan berkemampuan menyanyikan lagu-lagu genre tersebut dengan baik.

“Jika dilihat dalam generasi sekarang, Amir lebih sesuai menggantikan posisi vokalis yang sebelum ini diisi oleh Denden kerana mempunyai aura seorang ‘rockers’ dari segi imej, gaya dan minatnya.

Sebenarnya saya berniat untuk mengambil Amir sejak dulu, namun pada waktu itu dia masih kecil, sebaya dengan anak saya.

“Amir seorang yang agresif di pentas, ini yang kami mahukan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Amir teruja

Sementara itu, pemilik nama lengkap Amir Syazwan Masdi, 27, tidak pernah terbayang dipilih menjadi penyanyi untuk kumpulan rock legenda, Search pada konsert mereka.

Saya sangat terkejut. Tidak sangka dan tak pernah bayangkan akan ada dalam satu poster serta berkongsi pentas dengan band legenda.

“Saya fikir hanya artis jemputan, tetapi jadi penyanyi rupanya,” jelasnya.

PELUANG bergandingan dengan Search ibarat bulan jatuh ke riba.

Amir mengakui dia membesar dengan lagu-lagu Search dan menganggap satu pencapaian besar apabila Din memilihnya menjadi vokalis.

Apabila mendapat panggilan daripada Search, itu ibarat satu pencapaian besar dalam hidup saya kerana saya mengikuti perkembangan mereka sejak kecil.

“Saya pun kena belajar juga tentang peminat Search sebelum ini supaya ada ‘connection’ antara penyanyi dan penonton untuk elak rasa kekok,” ujarnya teruja.

Tambah pelantun Asmara itu, dia juga sudah melakukan latihan selepas sambutan  Aidilfitri lalu dan menyerahkan pemilihan lagu sepenuhnya kepada Search memandangkan itu adalah konsert mereka.

Lebih sebulan saya menghafal lagu dan biasakan diri dengan Search. Untuk senarai lagu saya serahkan kepada Search kerana itu konsert mereka.

“Apabila berada di atas pentas, bukan sekadar lirik dilontarkan tetapi merangkumi banyak benda sebagai seorang penyanyi di atas pentas.

Setakat ini senarai lagu yang saya dapat okey sahaja. Lagu bukan sekadar hafal, namun perlu hadam satu badan untuk penonton tersentuh,” katanya lagi.

Segmen persembahan khas akan menampilkan Ritz Metalasia, Muzza, Addy Cradle dan Jovita Pearl dari program realiti, X Factor Indonesia.

Konsert tersebut dijangka berlangsung selama lebih dua jam dan diisi dengan 16 buah lagu tanpa henti sementelah senarai lagu yang akan dipersembahkan pada acara konsert tersebut dirahsiakan.

Mengimbau semula, kali terakhir Search mengadakan konsert berskala besar ialah pada konsert Search Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell yang dihadiri lebih 3,000 peminat setia mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok