HANYA kerana membuka ruang dan terbuka berkongsi masalah peribadi antara punca utama yang membuatkan hubungan dua pelakon iaitu Aliff Aziz dengan Ruhainies semakin rapat di set penggambaran.
Menurut Aliff, 33, dia meletakkan kesalahan tersebut kepada dirinya selain menganggap kemelut dengan isteri iaitu Bella Astillah juga kerana membuka ruang ‘menjemput’ orang lain mendengar masalah peribadinya.
“Saya rasa perkara ini terjadi sebab saya tak dapat berkomunikasi dengan Bella secara baik dan pasti akan jadi pergaduhan.
Jadi, saya mendiamkan diri tanpa mengetahui tindakan itu hanya akan membuatkan lebih banyak masalah datang. Jadi saya mengalihkan perhatian saya dengan kerja.
“Tapi dalam tempoh beberapa minggu semasa penggambaran, prestasi saya semakin kurang baik dan ramai di set penggambaran sudah mula perasan perkara itu. Ruhainies pun ada bertanya adakah saya mempunyai masalah,” katanya.
Ujarnya, perhubungan mereka semakin rapat selepas dia berkongsi dengan Ruhainies tentang masalah peribadinya khususnya perihal rumah tangga.
Mengakui menyesal, dia juga menegaskan sesi luahan perasaan bukan sekadar membuatkan Ruhainies simpati namun membawa hubungan mereka menjadi lebih rapat.
Pada awalnya, saya memang tak campur urusan peribadi dengan kerja tetapi lama-kelamaan hubungan saya dengan dia semakin rapat.
“Saya mula luah perasaan dan sampai sekarang saya rasa itu satu keputusan yang amat saya kesali.
Ketika perkahwinan bermasalah dan ada perasaan yang bercampur baur, saya akhirnya jatuh dalam masalah itu. Saya mula luah sehingga Ruhainies rasa simpati.
“Namun niat saya bukan untuk raih simpati sebaliknya sekadar berkongsi. Malangnya tindakan itu telah membuka pintu untuk mengenali satu sama lain dengan lebih rapat,” ujarnya.
Dia bagaimanapun melihat keterbukaan berkongsi masalah sehingga tercipta hubungan dengan Ruhainies adalah satu kesalahan dan menyesali perbuatannya itu.
“Saya bertanggungjawab penuh tentang itu. Jika saya dapat putar masa, saya tak akan luah perasaan saya.
Kepada Ruhainies dan keluarganya, terima kasih tetapi saya minta maaf sebab mengheret anda semua ke dalam masalah ini yang saya sendiri mulakan.
“Terima kasih atas semua nasihat dan harap mereka semua dapat memaafkan saya,” katanya lagi.
Pada 8 Mac lalu, nama Aliff dan Ruhainies meledak apabila ditangkap khalwat di sebuah kondominium di ibu negara.
Perkara itu turut membawa rumah tangga Aliff dan Bella ke muka pengadilan apabila isterinya nekad memfailkan cerai pada 11 Mac lalu namun pada 4 April lalu, penyanyi itu enggan bercerai atas alasan masih menyayangi keluarganya.
Kemudian, industri hiburan dikejutkan lagi dengan kemunculan wanita mendakwa dirinya kekasih gelap Aliff iaitu Sarah Yasmine.
Sarah turut mengejutkan ramai dengan memuat naik puluhan tangkap layar perbualan WhatsApp wanita bernama NRF iaitu Ruhainies dengan Aliff yang membincangkan pelbagai perkara termasuk kes khalwat mereka dan komplot menjatuhkan Bella. – HIBGLAM