Aisha Retno intai pasaran Indonesia

SEJAK bergelar naib juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), rezeki penyanyi Aisha Retno mencurah-curah.

Momentum tersebut  diteruskan lagi dengan lagu Ketipak Ketipung Raya dendangan bersama Aziz Harun yang meledak sepanjang musim raya dan mendapat 6.1 juta tontonan di YouTube, selain tular sehingga ke luar negara.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipilijam, 23, sama sekali tidak menyangka, dia akhirnya ‘dipandang’ dan diberi perhatian selepas enam tahun berhempas pulas sebagai penyanyi.

Dia bahkan terkejut dengan penerimaan peminat, walhal sedutan lagu Ketipak Ketipung Raya sebenarnya sudah disiarkan pada tahun lalu menerusi aplikasi TikTok.

Tipulah kalau saya dan pihak pengurusan tidak meletakkan harapan yang tinggi. Sebenarnya setiap lagu yang dikeluarkan mana-mana penyanyi memang diletakkan harapan dan sasarannya.

“Cuma untuk lagu Ketipak Ketipung Raya, saya tidak letakkan harapan yang terlalu tinggi sebab sedutan korusnya pernah disiarkan tahun lalu menerusi TikTok.

“Saya sangka, bila lagu dikeluarkan tahun ini orang akan lupa sebab sudah setahun. Rupa-rupanya sambutannya luar biasa sehingga ke luar negara,” kata Aisha.

Apa yang lebih membanggakan, selebriti tempatan dan Indonesia turut sama-sama menyertai cabaran tarian Ketipak Ketipung Raya dan memuat naik video tarian mereka ke laman sosial masing-masing.

Populariti lagu Ketipak Ketipung Raya beri laluan mudah untuk Aisha lebarkan sayap seni ke Indonesia.

Antaranya, Mira Filzah, Tiara Jacquelina, Scha Alyahya, Daiyan Trisya, Dian Sastrowardoyo dan Luna Maya.

Saya cukup terharu apabila ramai rakan artis turut memberi sokongan dengan menyahut cabaran tarian Ketipak Ketipung Raya. 

“Secara tidak langsung telah memanjangkan lagi jangka hayat populariti lagu itu,” ujarnya.

Indonesia

Aisha juga bersyukur kerana kerjanya semakin mudah dengan adanya medium media sosial.

Sebagai generasi baharu, penyanyi lagu Sutera itu mengakui, media sosial memainkan peranan penting dalam karier seninya.

“Saya harus gunakan medium media sosial sebaik mungkin dan semaksimum yang boleh untuk kerjaya seni.

Lihatlah lagu Ketipak Ketipung Raya, impak daripada media sosial cukup tinggi. Jika tidak kerana viral, orang yang tidak dengar radio mungkin tidak tahu lagu saya,”  tutur Aisha.

Bahkan lagu Ketipak Ketipung Raya telah membuka laluan mudah untuk Aisha melebarkan sayap sehingga ke Indonesia.

Paling mengujakan, Aisha akan mewakili Malaysia ke Festival Java Jazz  yang menghimpunkan ramai penyanyi terkenal Indonesia dan serantau pada 24 sehingga 24 Mei ini.

Selain itu, dia juga akan cuba melebarkan sayap seni ke Seberang dengan turut mengadakan sesi promosi sepanjang berada di Jakarta.

“Alhamdulillah, saya rasa seperti pulang ke rumah, sebab separuh daripada saya berketurunan Indonesia iaitu sebelah ibu.

“Sebelum ini saya pernah viral di Indonesia dengan lagu Inggeris W.H.U.T (Wanna Hold U Tight), jadi apabila saya viral sekali lagi tetapi dengan lagu raya berirama joget ramai yang terkejut dan gembira.

Impian Aisha bakal terlaksana apabila terpilih mewakili Malaysia ke pentas Festival Java Jazz di Indonesia pada Mei ini.

“Insya-Allah, jika selepas ini ada tawaran persembahan di sana pada masa depan sudah tentu saya berbesar hati. 

Setakat ini, selain Festival Java Jazz, saya akan turut mengadakan promosi single di sana,” jelas Aisha.

Ditebak adakah laluan untuknya ke negara seberang itu menjadi lebih mudah kerana memiliki darah Indonesia, Aisha menafikan perkara tersebut.

“Tidaklah mudah juga kerana saya ambil masa yang lama juga. Sebagai penyanyi saya hanya mahu orang terhibur dengan muzik yang didendangkan.

“Cuma diakui saya rasa lebih berkeyakinan untuk ke Indonesia kerana peminat di sana  sudah mengenali saya bukan hanya menerusi satu lagu tetapi lagu-lagu lain juga,” luah Aisha.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.

 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok