Aaron Aziz ‘Vin Diesel’ Malaysia

DATUK Aaron Aziz bukanlah nama asing dalam industri, sementelah tuan punya badan sudah pun bergelumang dalam dunia hiburan lebih dua dekad lalu.

Pengalaman yang ada tentu sahaja menjadikan bintang bertubuh kekar itu sebagai rujukan para pelapis muda yang ingin mengikut jejak langkah agar kekal lama menongkah arus sebagai anak seni.

Katanya, dunia hiburan bukanlah semata-mata hidup dalam pujian. Sesekali roda kehidupan akan berputar dan memberikan ‘pukulan’ agar tidak asyik dengan keindahan percikan glamor dan populariti.

“Ada yang bertanya bagaimana cara membawa diri dan menjalani kehidupan sebagai anak seni. Nasihat saya, kita tidak boleh hendak mengharapkan pujian semata-mata.

Kita memang sukakan pujian dan mengharapkan orang akan sentiasa memuji kita. Tetapi itu mustahil untuk berlaku kerana bukan semua orang akan sukakan kita.

“Walau sebaik mana pun kita lakukan, akan ada yang kritik dan tidak menyukai. Jadi, sebagai artis kita kena terima kecaman atau kritikan mahupun teguran,” kata pemilik trofi Pelakon Lelaki TV Popular Anugerah Bintang Popular 2018 itu.

TERDETIK rasa risau, Aaron berharap penonton tidak membandingkan The Expert dengan filem Sheriff.

Beralih tentang perkembangan terkini, Aaron yang sebelum ini kerap terlibat dalam filem aksi kini bakal muncul dengan buah tangan baharu bertajuk The Experts.

Menemui penonton bermula 23 Mei, filem arahan Andre Chiew dan Nazim Shah tersebut memperlihatkan Aaron membawa peranan sebagai tulang belakang kepada kumpulan adik-beradik menjalankan rompakan dan melarikan sebentuk cincin.

Pertama kali membawa watak sebegitu, Aaron akui filem genre rompakan terancang atau crime heist dalam The Experts membuka lembaran baharu portfolio seninya.

Meskipun tidak terlalu banyak babak aksi, namun jalan cerita putaran plot (plot twist), tentu sahaja membuatkan penonton tercengang.

“Sebelum ini saya belum pernah mendapatkan tawaran terlibat dengan filem heist sebegini. Boleh dikatakan juga filem ini diinspirasikan daripada kejadian sebenar iaitu heist itu sendiri.

Apabila menerima tawaran, saya terus jatuh cinta dan sukakan skripnya. Walau ada aksi tetapi tidak seperti kebanyakan filem yang pernah dijayakan sebelum ini kerana selalunya akan mendapat watak sebagai gengster atau tentera,” jelasnya.

MENERUSI The Expert, produksi mahu badannya kelihatan sasa seperti aktor Hollywood, Vin Diesel.

Mengharapkan agar filem tersebut mendapat sambutan penonton, Aaron akui wujud rasa gusar sekiranya karya baharu tersebut dibandingkan dengan Sheriff: Narko Integriti yang menemui penonton pada 18 April lalu.

Saya agak risau, takut diperbandingkan. Saya mengharapkan penonton dapat menerima genre filem ini yang mempunyai pelbagai emosi. Ada drama, komedi, aksi dan plot twist.

“Kerisauan itu tidak terlalu serius, tetapi satu filem itu sudah ‘meletop’ dan diharapkan filem ini juga mendapat impak sama,” ujarnya.

Mengulas lanjut perihal The Experts, Aaron memberitahu bentuk fizikalnya dalam naskhah tersebut sedikit besar kerana memenuhi kehendak produksi.

Saya menjalani latihan fizikal yang ketat selama enam bulan untuk mendapatkan bentuk badan begitu. Mereka nak badan saya seperti Vin Diesel.

“Selain latihan saya juga perlu mengambil diet seimbang dan makanan yang telah disediakan agar dapat mengekalkan bentuk badan begitu sepanjang penggambaran,” ujarnya.

Namun, penonton filem tersebut mungkin sesekali dapat menyedari bentuk fizikal Aaron yang adakala sedikit berubah memandangkan sebahagian babak menjalani penggambaran pada 2019.

Selain Aaron, The Experts terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Zak Capital dan TGV Pictures dibintangi Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak, Ray Dapdap, Maya Karin, Tony Eusoff, Wan Hanafi Su, Jay Iswazir, Douglas Lim dan Michael Ang.

The Experts mengisahkan perompak lima beradik, Farid (Aaron) abang sulung kepada Keyrol, Amer, Lan dan Emma yang mempunyai kehandalan tersendiri. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok