PENYANYI rap, Kidd Santhe dan Saixes menganggap peluang berkolaborasi dengan YouTuber terkenal, Atta Halilintar menerusi lagu Mantap Cuy sebagai satu peluang keemasan.
Kata Kidd selaku penerbit, dia tidak menyangka pelawaan menerusi mesej langsung (DM) Instagram mendapat respons YouTuber ketiga paling ramai pengikut di Asia tersebut.
“Sebenarnya, saya sudah DM Atta sejak 2018, tetapi hanya pada tahun lepas saya baru mendapat lampu hijau daripadanya. Memang terkejut.
“Saya juga sebenarnya mengidolakan Atta kerana dia pakar di gelangggang YouTube, perniagaan serta muzik dan pada waktu itu (tahun 2018) saya hanya mahu mendapatkan respons Atta.
“Rezeki saya nyata datang pada tahun lepas apabila Atta membalas DM saya untuk berkolaborasi dalam lagu ini. Walaupun selepas lima tahun, maklum balasnya sudah cukup memuaskan hati,” katanya kepada Kosmo! Online.
Kidd Santhe, 25, juga memuji komitmen menantu kepada Krisdayanti itu yang memberikan sepenuh komitmen sepanjang rakaman.
Baginya, lagu tersebut juga menggambarkan inspirasi kepada orang ramai yang berdepan dengan ujian dalam kehidupan yang bertepatan cabaran dilalui YouTuber terbabit.
“Maksud di sebalik lagu ini bukan sahaja meraikan kemenangan besar tetapi kemenangan kecil dalam hidup.
“Mantap Cuy juga adalah gabungan slang Malaysia dan Indonesia dengan perkataan yang selalu kita gunakan seperti ‘cool’, ‘dude’ atau ‘awesome bro’ dalam bahasa Inggeris,” katanya pada pelancaran lagu Mantap Cuy, baru-baru ini.
Atta juga diterbangkan khas ke Kuala Lumpur bersempena pelancaran dendangan tersebut.
Mantap Cuy yang merupakan edaran Sony Music Malaysia kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman muzik seperti iTunes, Spotify dan Apple Music bermula 26 April lalu. – HIBGLAM