TIGA malam berturut-turut mimpi bertudung, mungkin itu hidayah untuk saya.”
Demikian kata pelakon Neera Aziz yang nekad kekal berhijab usai pulang dari menunaikan umrah.
Neera atau Nurazneera Azizi, 26, berkata sewaktu berada di Tanah Suci Mekah, dia berdoa dimurahkan rezeki dan bersyukur menerima petanda agar kekal istiqamah menjaga aurat apabila pulang ke tanah air.
Sebenarnya saya baru berhijab tahun ini, selepas pulang dari umrah.
“Waktu itu saya berdoa untuk dimurahkan rezeki, tiga malam berturut-turut saya mimpi memakai tudung.
Jadi ini merupakan rezeki saya memakai tudung, mungkin itu hidayah saya,” katanya ketika ditemui sidang media Teater Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka, baru-baru ini.
Ditebak soalan tidakkah bimbang sekiranya tawaran berkurang selepas berhijab, pelakon drama Sayangku Kapten Mukhriz itu berkata rezeki ada di mana-mana sahaja dan tidak bergantung kepada bidang lakonan sahaja.
“Ada juga orang cakap kalau berhijab tiada tawaran kerja tetapi bagi saya apabila berhijab akan ada rezeki lain.
Tak semestinya rezeki berlakon sahaja, mungkin rezeki buat teater, perniagaan dan sebagainya.
“Kena percaya dengan rezeki Allah. Alhamdulillah, selepas berhijab saya juga ikat kontrak bersama Datuk Seri Aliff Syukri untuk tampil sebagai model jenama tudungnya,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai teater Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka, Neera mengakui teruja diberikan peluang watak utama sebagai Tun Fatimah.
Seiring dengan penghijrahan yang dilakukan, Neera akan kekal berhijab dalam pementasan yang bakal dipersembahkan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 7 dan 8 Jun ini. – HIBGLAM