‘2024 tahun Syafiq Kyle? Rasanya tidak’

SYAFIQ Kyle, sepotong nama yang pernah dilenjan dek kontroversi sebelum ini. Senaraikan sahaja kontroversi berkait dengannya, hampir semuanya mampu menjatuhkan reputasi sebagai anak seni.

Satu hal yang membuka mata ramai tentangnya, meski disepak terajang oleh kontroversi, reputasinya kekal utuh bahkan semakin memuncak ketika ini.

Masakan tidak, setiap karya lakonannya pasti meledak dan menjadi bahan bualan ramai dalam media sosial. 

Antaranya, One Cent Thief, Doh, Terlanjur Cinta. Tahun ini bakatnya terus dijulang menerusi filem Sheriff: Narko Integriti dan The Experts.

Rezeki

Tidak keterlaluan sekiranya mengatakan tahun 2024 miliknya, namun jolokan tersebut ditepis pelakon berusia 32 tahun itu.

“Tahun Syafiq? Memang ada orang ramai cakap tahun ini milik saya tetapi saya rasa tidak.

“Kalau nak cakap tentang filem back to back, alhamdulillah rezeki Allah SWT,” katanya membuka bicara.

Pemilik nama penuh Mohd. Syafiq Shamim Abd. Razak itu memberitahu, istilah ‘tahun Syafiq’ mungkin tercetus apabila melihat satu demi satu filem lakonannya ditayangkan pada tahun ini.

“Sebenarnya filem The Expert antara filem terawal saya tetapi sebab dianjak ke tahun ini, jadi nampak filem saya tanpa henti ditayangkan selepas Sheriff.

“Tapi apa pun saya syukur sebab orang lihat hasil kerja saya sebagai pelakon, sekali gus mengundang rasa yakin dan kepercayaan rakyat malaysia terhadap filem tempatan,” ujarnya.

Sempat mengulas mengenai wataknya sebagai pembunuh bersiri iaitu Meth Killer dalam Sheriff, dia mengakui terhibur melihat lakonannya menjadi tular dalam media sosial sejak akhir-akhir ini.

“Sejujurnya saya tahu watak Meth Killer tular apabila ramai yang hantar pautan video TikTok. 

“Ramai muat naik video reaksi yang dimulakan ayat ‘daripada Meth Killer kita belajar bahawa lelaki lakukan apa sahaja demi wanita yang dicintainya’.

“Tak sangka mereka tularkan dari sudut cinta sedangkan Meth Killer lebih kepada perlakuan jenayah. 

“Namun, terpulang kepada persepsi setiap penonton dan bersyukur kerana filem ini diterima dengan baik oleh penonton sehingga kutipannya pecah panggung,” katanya lagi.

Melihat kutipan panggung melebihi RM50 juta dalam tempoh 18 hari tayangan, Syafiq positif bahawa filem Sheriff dapat mengembalikan semula keyakinan masyarakat terhadap kualiti naskhah tempatan.

“Saya harap filem ini dapat membuatkan penonton rasa berbaloi bayar RM20 untuk ke panggung. Sebagai pengkarya, kita hanya mahukan penonton yakin dan percaya kepada karya kita.

“Bila kita terima maklum balas sangat baik daripada penonton, siap ada yang berusaha sunting video reaksi di TikTok. Itulah kegembiraan terbesar kami sebagai pelakon,” tutur bekas finalis Hero Remaja 2011/12 itu.

Berkongsi pandangan tentang industri perfileman tanah air, dia berkata fillem dan drama tempatan tidak boleh sekadar hidup dalam tempurung kerana sudah tiba masa pelaku seni tanah air menjadi lebih berani mengupas isu sensitif yang ‘berkeliaran’ dalam kehidupan masyarakat negara ini.

“Isu masyarakat hari ini sudah lebih ekstrem daripada apa yang kita tonton. 

“Kalau naskhah kita tidak mencerminkan realiti sebenar, maksudnya ada sesuatu yang tidak kena.

“Negara seperti Taiwan, Korea dan Jepun sudah lama guna formula mengupas isu sensitif dan jenayah, namun kita masih takut-takut. 

“Dengan kehadiran Sheriff, kita sudah lihat bagaimana masyarakat sudah boleh menerima  isu sensitif begini.

“Namun dalam keberanian tersebut, isu tersebut haruslah dihasilkan mengikut acuan dan kehendak budaya setempat,” jelasnya.

Tidak tenggelam

Pernah dihambat kontroversi, namun kerjaya seni terus belayar bukan rezeki yang mampu dimiliki semua anak seni. 

Syafiq bagaimanapun berjaya membuktikan dirinya tidak mudah tenggelam dengan segala perkara negatif yang mendatang.

Dia bahkan percaya kontroversi antara faktor membuat nama seorang anak seni dikenali, namun harus seiring dengan bakat yang dipertaruhkan.

“Kontroversi dan publisiti penting tetapi kita harus pilih jenis kontroversi apa yang kita inginkan.

“Kalau terlalu bersih pun, saya rasa benda itu tak mengajar kita sebagai anak seni,” jelasnya.

Bintang filem Polis Evo 3 itu juga berpendapat, masyarakat hari semakin bijak dalam menilai dan menghargai hasil kerja seseorang anak seni.

“Saya rasa masyarakat sekarang sudah bijak dan boleh menilai siapa yang serius atau tidak dalam bekerja. Saya tak kata saya terbaik tetapi sedang belajar. 

“Saya tak kata, saya tak buat salah sebab saya juga pernah terpalit kontroversi. Apa yang penting, bakat itu perlu seiring dan diberi keutamaan,” ujarnya.

Menurut Syafiq, peningkatan usia juga membuatnya semakin matang dalam menentukan aturan hidup selain memilih hal yang terbaik untuk dirinya.

“Mungkin sebab saya sudah 32 tahun dan memilih untuk bekerja dengan orang matang. Tapi perangai kebudak-budakan masih ada. Tapi pekerjaan banyak membantu saya dari segi keputusan. 

“Saya pernah rasa ‘down’ tentang kerja tetapi saya jadikan perkara itu sebagai batu loncatan untuk belajar dan perbaiki diri sebab tiada orang mahu tolong kita,” ujarnya mengakhiri bicara.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok