2024 tahun konsert – Siti Nurhaliza

HAMPIR tiga dekad mencipta nama sebagai penghibur tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak meletakkan had umur untuk menamatkan kembara seninya.

Pun begitu, pelantun lagu 7 Nasihat itu sedar tidak selamanya dia bersinar sebagai penyanyi kerana ada matlamat lain perlu diberi perhatian pada hujung usianya. 

“Dalam hidup ini, saya menyanyi kerana bakat yang Allah berikan dan akan sampai satu masa saya akan berhenti.

“Takkanlah saya akan berada di atas pentas sampai bila-bila, saya ada matlamat hidup juga di hari tua.

“Tetapi semua ini bakat dari Allah SWT,  saya tidak mampu meramal bila akan bersara,” katanya ketika ditemui di Cranky Music Studio, baru-baru ini. 

Suka konsert

Meskipun melakar pelbagai kejayaan, Siti yang terkenal dengan sikap merendah diri tidak pernah berhenti belajar, malah sentiasa menghargai peluang depan mata. 

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga mengakui sukakan cabaran dalam persembahan kerana dapat menjadi individu kreatif dengan menampilkan kelainan pada setiap konsert.

“Dalam hidup, tak kisahlah penyanyi atau cabang kerja lain, pasti ada banyak peluang dan cabaran menanti di hadapan. Disebabkan itu, kita sentiasa mahu belajar perkara baharu. 

“Saya suka konsert, di situlah saya  diuji fizikal dan mental menjadi individu lebih kreatif. Saya suka mencari idea-idea baru,” katanya.

2024 tahun konsert

Rezeki mencurah-curah, pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin, 45,  menyifatkan 2024 sebagai tahun konsert kerana sejak Mac lalu hingga Ogos depan lima persembahan berskala besar harus dijayakannya.

SITI NURHALIZA

“Rezeki tidak putus-putus, alhamdulillah sebab saya masih ada momentum untuk buat konsert.

“Selepas konsert Epitome, saya ambil pula konsert di Singapura selama dua malam dan pada Ogos  nanti berlangsung pula persembahan berskala besar di Genting Highlands.

“Semua sekali lima konsert. Syukur,” ujarnya lagi.

Tiket laris

Pada Mac lalu, Siti menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza dan 28 hingga 29 Jun depan dia bakal menghiburkan peminat di Singapura. 

Siti berjaya membuktikan auranya masih hebat apabila tiket Konsert Cinta Di Awan di Arena of Stars, Genting Highlands pada 10 Ogos akan datang telah habis dijual dalam tempoh kurang sejam selepas kaunter pembelian dibuka.

Kedua-dua konsert di Kota Singa turut melakar sejarah apabila semua tempat duduk habis ditempah dalam masa yang singkat.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok