Pelakon Amar Bahrin mendedahkan sudah mendapat maklum balas daripada pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Selangor berhubung isu pertindihan hak milik tanah ibunya yang belum diselesaikan sejak 10 tahun yang lalu.
Kata Amar atau Amar Mohd Baharin, 39, sepanjang tempoh 10 tahun itu, dia dan ibunya, Norhayati Abd. Aziz sudah melakukan pelbagai cara untuk menyelesaikan isu tanah tersebut namun tidak berhasil.
Ibu saya dapat tahun masalah ini sejak 2011. Mereka menjanjikan untuk menggantikan tanah pada tahun 2014.
“Tetapi sekarang dah masuk 2024, bagi saya 10 tahun itu terlalu lama untuk mereka membuat keputusan dengan memberikan tanah yang baru.
“Jadi sekarang kita boleh nampak hasil kerja mereka jadi cepat setelah saya mengemukakan perkara itu dalam media sosial,” katanya kepada HibGlam.
Begitupun, pelakon drama Terima Kasih Cinta itu tersentuh hati dengan kata-kata ibunya yang berhasrat untuk menyelesaikan isu tanah tersebut sebelum dia meninggal dunia.
Kongsi Amar sebagai seorang anak sulung dalam keluarga, dia berusaha untuk menggembirakan hati ibunya, tambahan pula bapanya Mohd. Baharin Amir baharu sahaja meninggal dunia tahun lalu.
Saya cuba menguruskan masalah ini untuk melihat ibu saya gembira kerana dia selalu suarakan benda ini. Jadi, ini peluang untuk saya menggunakan apa yang ada bagi membantunya.
“Ayah saya baru meninggal pada tahun lepas, ibu dan ayah saya usahakan tanah ini terlalu lama. Ibu pernah suarakan kalau boleh dia mahu selesaikan masalah ini sebelum meninggal dunia.
“Saya akan usaha untuk mendapatkan semula hak kami,” kongsinya ketika ditemui Rumah Terbuka Aidilfitri Stesen Sdn. Bhd. yang diadakan di Kemensah Heights, semalam.
Dalam pada itu, Amar juga mendapat perkhabaran gembira apabila PTG Selangor sudah pun menjanjikan pemilikan tanah lot baharu bagi menggantikan pertindihan tanah tesebut.
Saya baru mendapat info terbaharu apabila pihak PTG Selangor memberitahu sudah ada tanah yang sesuai untuk digantikan.
“Tetapi saya tidak boleh berkongsi banyak kerana belum ada hitam putih untuk menandatangi apa-apa dokumen, kalau sudah pasti saya akan kongsikan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Amar belum boleh menarik nafas lega selagi kes tersebut tidak diselesaikan dengan dokumen hitam putih.
Sebelum ini, Amar menuntut penjelasan pihak PTG Selangor berkenaan kes tanah milik ibunya yang terletak di Semenyih dikesan apabila geran dikeluarkan kepada orang lain secara tidak sah.
Perkongsian yang dibuat oleh Amar turut mendapat perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan isu pembabitan tanah milik keluarga pelakon berkenaan bukanlah isu pertama di negeri ini. – HIBGLAM