[VIDEO]Hamil luar rahim, Ain Edruce keguguran

TAK ada rezeki Soraya nak ada adik lagi.”

DEMIKIAN luahan sayu pelakon Ain Edruce apabila hasrat menimang cahaya mata kedua tidak kesampaian apabila mengalami keguguran berikutan hamil luar rahim.

Kongsi Ain atau nama lengkapnya Nurulain Edruce, 33, selepas disahkan kehamilan kali ini berisiko tinggi,  doktor menasihatinya menjalani prosedur menggugurkan kandungan pada minggu lalu.

“Tahun ini saya tiada rezeki nak ada anak lagi. Saya dapat tahu hamil sewaktu menjalani penggambaran di Dubai pada pertengahan Februari lalu.

Kami buat pemeriksaan dan nampak kantung di kawasan tiub fallopio. Doktor cakap mungkin cyst (ketumbuhan) tetapi sebenarnya saya mengandung luar rahim selama lapan minggu.

“Kami kena cepat selesaikan masalah kerana boleh bawa maut. Jumaat lepas sekitar pukul 8 malam pendarahan saya tidak berhenti selepas doktor cucuk untuk hancurkan tanda-tanda bentuk bayi dalam kandungan,” katanya kepada HibGlam ketika dihubungi.

Meski bersedia mengharungi ujian kehilangan bayi dalam kadungan, pengacara Melodi itu masih dihantui  trauma apabila mengalami pendarahan yang teruk.

“Sebenarnya mental saya sudah sedia untuk kehilangan zuriat kedua kami dan hanya menunggu masa untuk datang bulan seperti biasa.

Namun, mental saya belum mampu untuk berdepan pendarahan yang teruk kerana sakit sangat.

“Apa yang saya lalui pada Jumaat lepas sememangnya meninggalkan kesan sehingga trauma kerana terlalu. Walaupun sudah ambil ubat painkiller, tetap tak mampu tahan kesakitan,” katanya.

Menurut pelakon filem My Name Is Lola itu, dia kini berehat di rumah dengan bantuan penjaga pantang selama tujuh hari sebelum kembali bekerja.

Kini, saya cuma berehat di rumah dengan bantuan confinement lady atau penjaga pantang selama seminggu.

“Badan saya memang sakit-sakit sebab itu saya pilih untuk berpantang betul-betul di rumah tanpa keluar sebelum kembali berkerja seperti biasa,” tuturnya.

Awal pagi tadi, Ain mengejutkan ramai dengan berita keguguran apabila memuat naik sebuah video dalam Instagram.

Ain mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Amirul Hafiz Mustaffa pada 13 Disember 2019 selepas enam bulan bertunang.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Soraya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by NURULAIN BT EDRUCE (@ainedruce)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok