[VIDEO] Terang hati, anak Neelofa hafal surah lazim

TIADA kata dapat diungkap pengacara dan usahawan Neelofa selain syukur apabila anak sulungnya, Muhammad Bilal menunjukkan minat mendalam terhadap al-Quran.

Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor, 35, berkata, minat Bilal yang baru berusia dua tahun itu dilihat sebagai rezeki daripada Allah SWT dan tidak tercetus atas dasar paksaan sebaliknya hadir kerana kehendak sendiri.

“Alhamdulillah, mungkin itu rezeki dan anugerah daripada Tuhan. Bilal minat mendengar bacaan al-Quran tanpa ada unsur paksaan, disuruh atau ditekan-tekan.

Sejak kecil, dia pasti akan menghampir sesiapa sahaja yang membaca al-Quran seperti abah atau neneknya. Bila orang solat, dia akan duduk dekat sambil mendengar setiap bacaan.

“Mungkin itu adalah satu rezeki yang Allah berikan kepada dia,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu juga terkejut apabila Bilal turut menghafal beberapa ayat awal dalam surah Yasin.

Disebabkan ada minat itu, apa-apa surah daripada juzuk ke-30 dia boleh sambung sebab dia ingat.

“Mungkin budak kecil mudah nak ingat sesuatu perkara. Surah kesukaannya adalah al-Asr.

“Paling saya dan suami terkejut baru-baru ini apabila dia hafal beberapa ayat terawal surah Yassin. Itu dia sendiri yang hafal,” katanya lagi.

Dalam pada itu, bekas hos MeleTOP itu berkata, Ramadan tahun ini amat bermakna buat dirinya kerana berpeluang meluangkan banyak masa di rumah dengan melakukan amal ibadah.

Ini merupakan Ramadan yang saya paling kurang sibuk dan banyak masa dihabiskan di rumah. Ramadan kali ini rutin saya ringkas tapi bermakna dan penuhkan masa dengan ibadah.

“Saya juga dapat fokus untuk selesaikan khatam al-Quran,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia enggan memberi sebarang kata putus apabila disoal sama ada netizen akan dapat melihat wajah anak keduanya, Abbas pada musim perayaan nanti.

Itu belum tahu lagi. Mungkin nanti kita akan kongsikan,” jawabnya ringkas.

Sebelum ini, Bilal yang kini berumur dua tahun mencuri perhatian ramai apabila menyambung bacaan al-Fatihah ibunya dalam sebuah video.

Untuk rekod, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas yang lahir pada 11 Julai tahun lalu. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok