[VIDEO] Raikan Raya ‘hidupkan’ Qalam Band

LEBIH lima tahun tidak muncul dengan karya baharu, Qalam Band kembali dengan lagu Raikan Raya sempena kedatangan Aidilfitri.

Teruja dengan peluang itu, kumpulan yang dianggotai Eynol, Faizwan dan Mukhrizad itu berdebar menantikan reaksi peminat.

Meski nama Qalam Band pernah menjadi siulan anak muda pada 2017 berikutan populariti lagu Hakikat Seorang Pencinta, emosi tiga anak muda itu kini bercampur baur.

“Diakui agak lama menyepi tetapi itu tidak bermakna Qalam Band sudah berkubur. Ketika itu masing-masing mempunyai komitmen sebagai pelajar dan kami kena perlahankan kerjaya seni buat seketika.

Sekarang apabila semua sudah boleh membahagikan masa dengan baik, barulah kami bersatu kembali dengan mempertaruhkan lagu raya.

“Harapnya peminat dapat menerima karya ini dengan baik sekali gus menaikkan semula nama Qalam Band,” kata Eynol yang juga vokalis kumpulan itu.

Menariknya, Raikan Raya merupakan lagu ciptaan Faizwan yang juga gitaris, manakala lirik pula oleh Mukhrizad yang bertindak selaku pemain bes Qalam Band.

TIGA anak muda ini mahu mengangkat irama Zapin menerusi karya terbaharu mereka.

Lari daripada kebiasaan, mereka memilih tema zapin sebagai nuansa buah tangan kali ini kerana mahu mengangkat kembali martabat irama itu.

Apabila mahu membuat kemunculan semula, kami kena cari sesuatu yang istimewa buat pendengar.

“Hasil perbincangan akhirnya kami pilih rentak zapin sebagai pertaruhan memandangkan sudah tidak banyak lagu raya berirama sedemikian.

Istimewanya, irama tradisional ini memang lain daripada lain. Kami sengaja memilih zapin untuk menerapkan kembali rasa cinta masyarakat terhadap rentak tradisi kita agar tidak lapuk ditelan zaman.

“Begitupun, kami bereksperimentasi dengan menggabungkan rentak zapin serta salsa yang popular di Barat pada bahagian korus,” kata Faizwan.

Bercerita mengenai proses rakaman lagu itu, Eynol berkata semuanya berjalan lancar memandangkan segala persiapan sudah di buat terlebih dahulu sebelum masuk studio.

“Memang semua teruja nak masuk semula studio rakaman. Maklumlah sudah lama tak ada lagu baharu.

Bila dapat buat projek ni, masing-masing gembira dapat bikin video muzik dan sebagainya.

“Setidak-tidaknya kami dapat mengubat kerinduan peminat yang selalu bertanya bila lagi Qalam Band akan muncul dengan single baharu. Ini pun sudah cukup menggembirakan mereka,” tambahnya lagi.

Raikan Raya yang dilancarkan secara rasmi pada 29 Mac lalu di seluruh platform digital merupakan kerjasama antara Sheikh Qalam Records dan Sony Music Malaysia. Video muzik lagu itu juga boleh ditonton melalui YouTube Sony Music Vevo pada hari sama.

Mengimbas kembali kembara seni Qalam Band, lima anak muda kelahiran Perak menubuhkan kumpulan itu kira-kira lebih sedekad lalu.

Mempertaruhkan Dilamun Rindu sebagai single petama pada 2012, mereka melangkah penuh bergaya apabila terus menghasilkan beberapa karya lagi.

Namun, kini hanya Eynol, Faizwan dan Mukhrizad setia meneruskan legasi Qalam Band. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok