[VIDEO] Dikejarkan ke hospital, Lana Nodin alami bengkak usus

PELAKON Lana Nodin mengesahkan mengalami jangkitan kuman pada usus yang mengakibatkan sakit perut kronik sehingga dikejarkan ke hospital pagi tadi.

Kata Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hassan Nodin, 44, kesihatannya mula terjejas sejak beberapa hari lalu yang berkemungkinan berpunca daripada keracunan makanan.

“Ramai tanya saya sakit apa. Saya bukan tak mahu jawab panggilan wartawan dan rakan artis tapi saya dah alami ini (sakit) tiga, empat hari.

Baru hari ini ada tenaga nak bercakap. Saya disahkan doktor mengalami jangkitan pada usus, salah makan atau keracunan makanan saya tak tahu.

“Saya masih di sini, di hospital. Tak boleh bangun kerana bengkak usus,” katanya menerusi perkongsian video dalam Instagram, sebentar tadi.

Perkembangan terkini itu melegakan ramai selepas dia dimaklumkan mendapatkan rawatan kecemasan di sebuah pusat perubatan swasta selepas mengadu sakit perut kronik.

Sebelum itu, keadaan kesihatan Lana mengundang kebimbangan ramai apabila pengurusnya menyatakan dia meraung menahan kesakitan dan minta dibawa ke hospital dengan segera.

Punca sakit mahupun keadaan terkininya belum dikongsikan sehingga petang tadi, berikutan pelakon itu tidak menjawab panggilan atau membalas mesej media.

Pada perkongsian sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut meminta maaf apabila tidak dapat membalas panggilan ramai yang ingin bertanyakan khabar.

Lana juga menzahirkan terima kasih atas keprihatinan ramai yang tidak putus-putus mendoakan kesihatannya. -HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Lana Nodin (@lananodinmckienzie)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok