Usah menyibuk hal rumah tangga orang – PU Riz

SERING disuakan soalan mengenai kes curang membabitkan rumah tangga artis, pendakwah selebriti, Haris Ismail memilih tidak campur tangan dengan mengambil pendekatan enggan mengulas lanjut.

Pun begitu, Hariz atau mesra disapa PU Riz, 29 berpendapat, tiada perkahwinan yang sentiasa tenang kerana setiap perhubungan pasti sesekali dilanda badai.

“Pada pendapat saya, dalam setiap rumah tangga pasti ada pasang surutnya. Namun kalau nak komen mengenai kes curang membabitkan orang lain, bukan saya.

Siapalah saya mahu bercerita tentang hal dalam kain orang, memang saya tidak layak.

“Bagaimanapun nasihat saya kepada semua termasuk diri sendiri tak usah ambil tahu tentang hal rumah tangga orang,” katanya menerusi hantaran video dalam TikTok.

Suami kepada pengacara popular Neelofa itu juga turut menasihati orang ramai jangan menyibuk selain menjaga aib masing-masing.

Sesuatu itu jadi panas disebabkan ada yang terlalu nak ambil tahu.

“Kita ini kalau ada orang buat baik, kita tak berapa minat. Tetapi kalau orang itu buat buruk, kita boleh ingat sampai bila-bila,” tuturnya.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, andai berlaku kes curang mahupun sondol menyondol, pasangan suami isteri boleh terus menyelesaikan kes berkenaan di mahkamah syariah.

Lagipun sekarang ini ada saluran yang betul. Kalau sesuatu perkara itu terbukti bersalah boleh terus pergi mahkamah syariah.

“Malah akan ada orang yang dilantik untuk utarakan pandangan dan selesaikan sesuatu isu. Orang lain cukup sekadar ambil iktibar,” tutupnya.

Sejak Isnin lalu, arena hiburan tanah panas apabila Sarah tiba-tiba menjadi watak baharu mendakwa dirinya kekasih gelap Aliff Aziz, sekali gus menyelak segala rahsia penyanyi itu dan Ruhainies. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok