Tular gelaran ‘Mrs’, Ruhainies sudah kahwin?

Nama pelakon Ruhainies sekali lagi menarik perhatian netizen apabila tular dakwaan kononnya dia sudah pun mendirikan rumah tangga bersama seseorang.

Khabar angin itu timbul menerusi pendedahan yang dimuat naik dalam akaun TikTok Myra Alan, apabila tertera nama pelakon itu yang menggunakan gelaran ‘Mrs’ atau puan, sekali gus memberi bayangan statusnya sebagai isteri orang.

Menerusi tangkap layar yang dimuat naik dalam akaun TikTok tersebut, tertera nama Ruhainies, 31, yang menggunakan gelaran Mrs dalam sebuah urusan perniagaan yang berpangkalan di London, England.

“Nama dia guna iaitu Mrs dan bukannya Ms (Miss). Gelaran Mrs untuk orang yang sudah berkahwin,” kata seorang netizen.

Dalam hantaran sama, pemilik akaun TikTok berkenaan turut memuat naik gambar sebuah kediaman yang dipercayai terletak di London. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kaitan rumah tersebut dengan pelakon berkenaan.

Dalam salah satu komen, netizen turut memberitahu nama perniagaan yang digunakan iaitu NRFMEJ Beauty Ltd. adalah gabungan nama pelakon itu dengan lelaki tersebut.

“Mr. E bekas kekasih. Mereka kerja bersama dan syarikat pun guna gabungan nama berdua,” ujar seorang pengguna TikTok.

Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas bagaimanapun tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej tidak dibalas.

Sekadar info, berdasarkan etika profesional, status bagi seorang perempuan itu tidak diambil kira sama ada telah berkahwin atau belum, kerana seseorang itu tetap akan dipanggil dengan gelaran ‘puan’ untuk urusan formal.

Terdahulu, nama Ruhainies hangat menjadi bualan ramai susulan isu ditangkap khalwat bersama pelakon, Aliff Aziz oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 9 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok